SAIFUL Bukhari (tiga kiri) bersama Nik Suryani (dua kiri) beramah mesra bersama orang ramai ketika kempen Pilihan Raya Kecil Port Dickson di Teluk Kemang. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
SAIFUL Bukhari (tiga kiri) bersama Nik Suryani (dua kiri) beramah mesra bersama orang ramai ketika kempen Pilihan Raya Kecil Port Dickson di Teluk Kemang. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Ifwan Tun Tuah


KEHADIRAN isteri, Nik Suryani Megat Deraman, menaikkan semangat calon Bebas, Mohd Saiful Bukhari Azlan, berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Nik Suryani, 38, yang juga bekas wartawan TV3, mula menyertai kempen Saiful Bukhari, hari ini, mengiringi suaminya melakukan tinjauan mesra dan mengedarkan risalah kepada orang ramai di sekitar kawasan Sunggala Gateway di Port Dickson.

Saiful Bukhari berkata, isterinya tidak dapat datang sebelum ini kerana terpaksa menguruskan dua anak lelaki mereka yang berusia satu dan empat tahun.

"Keputusan saya untuk bertanding dibuat pada saat akhir, jadi banyak perkara terpaksa diuruskan oleh isteri sebelum dia menyertai saya di sini.

"Perjalanan kempen dengan jentera pilihan raya 12 orang memang meletihkan, namun kehadirannya memberi saya semangat baharu," katanya ketika ditemui NSTP di Port Dickson, hari ini.

Saiful Bukhari, 33, menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi calon Pakatan Harapan (PH), selain Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar (PAS) dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (Bebas) serta empat calon Bebas lain pada PRK berkenaan.

Sementara itu, Nik Suryani memberi sokongan penuh kepada suaminya untuk bertanding kerana menganggap PRK itu sebagai langkah pertama Saiful untuk memasuki arena politik.

"Berdasarkan pengalaman membuat liputan politik ketika bertugas sebagai wartawan, saya nampak potensi beliau untuk menjadi ahli politik yang baik.

"Saya berpendapat PRK ini adalah masa paling sesuai untuk beliau memulakan langkah seterusnya mendapat pendedahan," katanya.

Lagi berita PRK Port Dickson

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 9:10 PM