ANWAR
ANWAR
Syed Umar Ariff dan Ifwan Tun Tuah

Port Dickson: Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan melayan serangan peribadi mengaitkan namanya termasuk cubaan mengungkit kesalahan liwat membabitkan dirinya sebelum ini.

“Biarlah dia...biarlah dia,” kata Ketua Umum PKR itu ringkas apabila ditanya mengenai tindakan calon Bebas, Mohamad Saiful Bukhari Azlan mempertahankan dakwaan kejadian liwat membabitkan Anwar dan dirinya pada 2008, benar-benar berlaku.

Saiful Bukhari yang juga bekas pembantu peribadi Anwar, pada ceramah kelompok pertamanya di Kampung Teluk Pelanduk di sini, malam kelmarin mendakwa sudah bersumpah tiga kali bagi mempertahankan dakwaannya itu berbanding Anwar.

Ditanya sama ada tindakan Saiful itu tidak profesional kerana sudah berjanji untuk tidak menggunakan kisah lama sebagai bahan kempen, Anwar hanya mengangguk tanda bersetuju.

Saiful Bukhari pada hari penamaan calon 29 September lalu memberi komitmen untuk tidak mengungkit kontroversi lalu sebagai bahan kempennya dalam PRK ini.

Pada Jun 2008, Saiful membuat laporan polis mendakwa diliwat Anwar di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Pada Februari 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Anwar selepas didapati bersalah namun beliau mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei lalu.

Anwar ditemui selepas menghadiri program motivasi santai bersama Datuk Fazley Yaakob di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 10:39 AM