NORALIZAN (kanan) bersama kakitangannya menunjukkan 'burger gasi Permai' yang mendapat sambutan pengunjung. (Gambar kecil) ketupat sotong dan nasi goreng ikan. FOTO Hanneeyzah Bariah Baharin.
NORALIZAN (kanan) bersama kakitangannya menunjukkan 'burger gasi Permai' yang mendapat sambutan pengunjung. (Gambar kecil) ketupat sotong dan nasi goreng ikan. FOTO Hanneeyzah Bariah Baharin.
Hanneeyzah Bariah Baharin


KUIH tonyoh ubi kayu, lempeng nyiur, sata goreng, burger gasi Permai, nasi goreng ikan kerabu, ketupat sotong dan jus pegaga madu antara menu tradisional dan menarik wajib dicuba pengunjung di Karnival Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu.

Karnival tiga hari berakhir malam esok (Sabtu) turut menyediakan pelbagai tarikan, termasuk jualan barangan tradisional seperti produk perkayuan, anyaman dan tekstil serta pameran agensi kerajaan dan hotel yang menawarkan pelbagai promosi menarik.

Gerai Hotel Permai yang menjual burger gasi Permai, nasi goreng ikan kerabu, ketupat sotong, jus pegaga madu dan soda herbs antara paling mendapat sambutan.

Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abd Rahman, berkata sejak 10 pagi apabila gerai dibuka, kakitangannya tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan, dengan burger gasi Permai berharga RM15 paling mendapat sambutan.

“Menerusi slogan ‘makanan hotel harga warung’, kami turut menjual nasi goreng ikan kerabu pada harga RM5 sebekas dan ketupat sotong RM10 untuk tiga ekor sotong, selain jus pegaga madu RM3 secawan.

“Selain itu, kami membuat promosi harga bilik RM99 yang sah laku bermula hari ini sehingga Mac tahun depan dan promosi makan di Restoran Cahaya RM12.90 untuk pakej makan tengah hari lengkap dengan minuman.

“Kami tak sangka sambutan pelanggan sangat luar biasa dan setiap hari jualan makanan serta promosi bilik habis ditempah. Untuk esok, kami sediakan lebih banyak baucer promosi bilik,” katanya ketika ditemui di gerai Hotel Permai, malam ini.

Peniaga kuih tonyoh ubi, Rohani Mohd, 57, berkata sepanjang karnival itu sebanyak 60 kilogram ubi digunakan untuk membuat kuih itu habis dijual setiap hari.

“Lenguh lengan saya menyagat ubi kayu bagi melayan permintaan pelanggan, tetapi hasilnya sangat berbaloi. Kuih ini dijual RM3 sebekas.

“Orang ramai terutama generasi muda hari ini tidak tahu ini adalah kuih tradisional penduduk Besut dan digemari orang zaman dulu, justeru dengan menjual kuih ini dapat memperkenalkannya kepada golongan muda,” katanya.

Beliau berkata, ubi kayu dibersihkan lalu disagat sebelum dikukus selama 15 minit dan kemudian digaul dengan kelapa muda dan gula melaka.

Peniaga lempeng nyiur, Noriza Yusof, 50, berkata walaupun lempeng dilihat makanan biasa, tetapi keistimewaan lempeng air tangannya yang mewah dengan kelapa menyebabkan ia mendapat permintaan tinggi pelanggan.

“Harganya murah sahaja RM2 untuk sekeping lempeng yang didatangkan dengan sambal ikan bilis sebagai pencicah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 11:18 PM