ISA (kanan) bersalaman dengan pengantin ketika hadir pada majlis kenduri kahwin sempena kempen PRK Port Dickson di Kampung Pasir Panjang, hari ini. FOTO Aswadi Alias.
ISA (kanan) bersalaman dengan pengantin ketika hadir pada majlis kenduri kahwin sempena kempen PRK Port Dickson di Kampung Pasir Panjang, hari ini. FOTO Aswadi Alias.
Syed Umar Ariff dan Ifwan Tun Tuah


BEKAS Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad menafikan diarah oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Isa menegaskan tidak pernah bertemu Perdana Menteri sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mei lalu.

“Saya tidak diletakkan oleh Tun M (DrMahathir). Saya tidak berjumpa beliau dan tiada sebab untuk berjumpa dengannya.

“Isu ini adalah ciptaan pemimpin PKR sendiri. Biasalah, orang buat khabar angin dalam pilihan raya termasuk perkara seperti ini.

“Saya tidak perlu diletakkan sesiapa. Ini bukan kali pertama saya bertanding, malah ini kali ke-10. Saya tak perlu diajar oleh sesiapa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi rumah rakan lamanya dalam siri kempen PRK Port Dickson, hari ini.

Isa mendakwa, teori konspirasi seperti itu direka dan disebarkan oleh pemimpin PKR tertentu untuk mensensasikan keadaan.

“Kalau ada orang mahu letakkan saya bertanding di situ pun, apa salahnya?” katanya dalam nada berseloroh.

Isa berdepan saingan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon PAS, Lt Kol(B) Mohd Nazari Mokhtar serta empat calon Bebas yang lain pada PRK Port Dickson.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Port Dickson, Mohd Najib Mohd Isa, yang juga anak sulung Isa menegaskan berkempen atas kapasiti sebagai anak dan tidak menggunakan jentera parti.

Sebagai pemimpin sayap parti, beliau akur dengan ketetapan kepemimpinan tertinggi UMNO yang memboikot PRK Port Dickson, malah UMNO Bahagian termasuk sayap Pemuda bersetuju dengan perkara itu.

“Saya berkempen sebagai anak kerana menjadi tanggungjawab saya memberi sokongan kepada bapa yang bertanding atas tiket Bebas.

“Saya tidak akan menggerakkan jentera parti termasuk Pemuda UMNO bahagian bagi membantu kempen beliau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya sama ada beliau bersedia menghadapi tindakan daripada parti, Najib berkata, terpulang kepada kepemimpinan tertinggi UMNO untuk membuat keputusan mengenainya.

“Saya tak boleh cakap nak berharap kepemimpinan UMNO jangan ambil tindakan atau sama ada saya bersedia dikenakan tindakan atau tidak kerana perkara seumpama ini tidak pernah berlaku.

“Namun saya berharap kepemimpinan parti membuat pertimbangan sewajarnya kerana tindakan beliau (Isa) sebenarnya tidak memberi kesan buruk kepada UMNO atau Barisan Nasional (BN),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 7:02 PM