FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Rudy Syareme Sheriffudin


SERAMAI 43 orang termasuk 19 warga asing ditahan atas kesalahan merokok di tempat awam dalam Operasi Penang Sihat di tiga lokasi berasingan di Georgetown, hari ini.

Operasi yang bermula dari 8 pagi hingga 1 petang itu membabitkan sepasukan 164 pegawai penguat kuasa Cawangan Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.

Operasi itu tertumpu di sekitar kawasan Pangkalan Feri Raja Tun Uda, Pangkalan Feri Sultan Abdul Halim, Penang Sentral, Stesen Bas Rapid dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang dipecahkan kepada dua kumpulan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Wan Mansor Hamzah berkata, dalam operasi itu tindakan penguat kuasa diambil mengikut Peraturan 11, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau kerana merokok di tempat awam.

“Hasil pemeriksaan, seramai tiga orang ditahan merokok di atas feri, (12) orang di terminal bas dan feri manakala 28 orang di LTAPP membabitkan secara keseluruhannya 24 orang perokok warga tempatan dan 19 orang warga asing.

“Tindakan diambil mengikut peraturan yang ditetapkan yang mana bagi setiap kesalahan individu yang ditahan akan dikenakan kompoun bernilai RM250 setiap seorang dan hasil kutipan kompoun keseluruhan yang diperolehi adalah berjumlah RM10,750,” katanya ketika ditemui semasa sidang media di Pangkalan Feri Raja Tun Uda, Georgetown, hari ini.

Hadir sama, Ketua Cawangan Inspektorat dan Perundangan, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Ong Ang Guan.

Dr Wan Mansor berkata, operasi akan terus dilakukan sehingga 10 malam dan secara berperingkat, malah diharap tiada lagi alasan mana-mana individu yang cuba memberitahu tidak tahu lokasi larangan merokok dan sebagainya.

Beliau berkata, alasan sebegitu tidak akan dilayan dan tindakan serta merta tetap akan diambil, malah kerjasama semua pihak amat diharapkan berikutan Pulau Pinang adalah negeri yang pertama yang telah diwartakan sebagai kawasan zon larangan merokok.

Katanya, secara tidak langsung juga seluruh kawasan dan tempat-tempat awam di negeri ini telah diwartakan sebagai Penang Bebas Asap Rokok (PENBAR) dan setiap perokok harus menghormati mereka yang tidak merokok.

“Kita mengharapkan semua pihak dapat memberikan kerjasama yang baik dalam usaha untuk menjadikan Pulau Pinang negeri bebas rokok dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 6:23 PM