Wan Nooruzhafizam (dua kanan) dan Abd Samad (dua kiri) didakwa atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM1,800 di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
Wan Nooruzhafizam (dua kanan) dan Abd Samad (dua kiri) didakwa atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM1,800 di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
Shaarani Ismail


DUA anggota polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM1,800 tiga tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan di Kuala Kangsar antara 3 September hingga 15 Oktober 2015.

Wan Nooruzhafizam Wan Mohd Noor, 37, dan rakan setugasnya, Abd Samad Ahmad, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, kedua-dua mereka yang bertugas di Bahagian Risikan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar didakwa secara bersama memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM500 dan RM300 daripada Muhamad Saifulriezzuan Samsuddin sebagai dorongan untuk tidak mengganggu ‘port’ ketum miliknya.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kereta Proton Wira berwarna putih di bawah sebatang pokok besar berhampiran Arena Square Kuala Kangsar pada jam 10 malam dan 7.50 malam, 3 September dan 6 Oktober 2015.

Bagi pertuduhan ketiga, kedua-dua mereka didakwa secara bersama cuba memperoleh suapan RM1,000 dari individu sama di tepi jalan besar di Kampung Bendang Kering kira-kira jam 3.30 petang, 15 Oktober tahun sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda dengan lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM R Kumuthambal manakala tertuduh diwakili peguam K Nahtan.

Indra Nehru membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dengan RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport mereka diserahkan kepada SPRM sehingga prosiding kes berkenaan selesai.

Mahkamah turut menetapkan 25 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pengurusan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 12:47 PM