FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Sharifah Mahsinah Abdullah


WANITA Kelantan didenda RM625 (5,000 Baht) oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat minggu lalu kerana memasuki negara itu secara haram.

Ketua Polis Sungai Golok, Kolonel Polis Prayut Phongsanti berkata, wanita berusia 35 tahun itu mengaku bersalah atas tuduhan itu yang dilakukan pada 13 September lalu.

"Wanita itu ditahan oleh pihak berkuasa di sini selepas dia menyeberangi Pekan Sungai Golok secara haram melalui Sungai Golok.

"Bagaimanapun dia membayar denda itu," katanya kepada NSTP ketika dihubungi di sini, hari ini.

Prayut berkata, wanita berasal dari Rantau Panjang, ditahan semula oleh polis Songkla selepas dia membayar denda itu pada hari berkenaan.

"Wanita itu kini berada dalam tahanan di Balai Polis Bang Klang, Songkla, atas satu lagi tuduhan iaitu terbabit dengan sindiket pemerdagangan manusia rentas sempadan," katanya.

Laporan akhbar semalam melaporkan wanita yang dikenali dengan panggilan 'kakak' di kalangan penduduk Rantau Panjang, ditahan polis Thailand beberapa hari lalu ketika menyeberangi ke Sungai Golok tanpa sebarang dokumen.

Timbalan Ketua Polis Bahagian ke-9, Mejar Jen Daoloi Muendech dilaporkan berkata, wanita itu juga memiliki satu waran tangkap dari Mahkamah Wilayah Songkla yang dikeluarkan pada Ogos lalu, kerana bersubahat dengan sindiket pemerdagangan manusia membabitkan mangsa berusia 18 tahun.

Daoloi berkata, pihak polis akan meneruskan siasatan serta meminta kerjasama Polis Malaysia untuk menyiasat sindiket pemerdagangan manusia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 11:50 AM