DR Salmee (dua kiri) menyerahkan cek PERKESO kepada Norizah di Kampung Ulu Padang Sanai. FOTO Noorazura Abdul Rahman
DR Salmee (dua kiri) menyerahkan cek PERKESO kepada Norizah di Kampung Ulu Padang Sanai. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


“Saya tidak mempunyai sumber pendapatan lain selepas kehilangan suami Jumaat lalu namun mujurlah saya dan anak layak menerima Faedah Pencen Penakat daripada PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) sebanyak RM475 sebulan,” kata Norizah Murad, 49.

Balu kepada mangsa dipijak gajah Mat Juhid Osman, 49, bersyukur dengan keprihatinan PERKESO terhadap keluarganya yang masih mempunyai dua anak yang bersekolah.

Katanya, dia sendiri buntu memikirkan nasib dua anaknya yang berusia 11 dan 16 tahun berikutan tidak mampu bekerja akibat penyakit darah tinggi.

“Sebelum ini, suami saya menoreh getah dengan pendapatan kira-kira RM700 sebulan, duit itu cukup untuk menyara mereka ke sekolah kerana dua lagi anak sudah bekerja.

“Mereka hanya bekerja kilang dan gaji mereka dapatlah menampung perbelanjaan di dapur, namun hari ini saya sungguh tidak sangka akan menerima Faedah Pencen Penakat mulai bulan depan,” katanya ketika ditemui di Kampung Ulu Padang Sanai, Padang Terap, hari ini.

Terdahulu, Norizah turut menerima cek Faedah Pengurusan Mayat PERKESO sebanyak RM2,000 yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Dr Salmee Said.

Sementara itu, Salmee berkata, Norizah layak menerima faedah berkenaan selepas semakan PERKESO mendapati arwah pernah mencarum dengan pertubuhan itu sejak 1985 sehingga 2004 sebagai pekerja kilang.

Katanya, Faedah Pencen Penakat akan dibayar secara berkala kepada balu sepanjang hayat sebanyak RM203.58 manakala dua anaknya yang masih bersekolah masing-masing menerima RM135.71 sehingga berusia 21 tahun atau tamat ijazah pertama.

Pada Jumaat lalu, NSTP melaporkan Mat Juhid maut akibat parah pada muka selepas dipijak gajah liar di pinggir hutan Kampung Kah Ing, Padang Sanai.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa bersama abangnya hendak pulang selepas berkebun sebelum terserempak dengan seekor gajah sebelum dipijak manakala abangnya berjaya menyelamatkan diri.

Berita berkaitan:

'Pikul adik 400 meter'

Gajah terpijak, bukan serang

Pekebun maut dihenyak gajah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 5:40 PM