Allahyarham Mat Juhid (gambar kecil) dari Kampung Hulu maut akibat parah di muka selepas dipijak gajah jantan yang mengamuk berdekatan Kampung Kah Ing, Padang Sanai, Padang Terap. FOTO Ihsan PDRM
Allahyarham Mat Juhid (gambar kecil) dari Kampung Hulu maut akibat parah di muka selepas dipijak gajah jantan yang mengamuk berdekatan Kampung Kah Ing, Padang Sanai, Padang Terap. FOTO Ihsan PDRM
Petah Wazzan Iskandar


PEMILIK dusun buah-buahan maut akibat parah di muka selepas dipijak gajah jantan yang mengamuk berdekatan Kampung Kah Ing, Padang Sanai, dekat Padang Terap, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Mat Juhid Osman, 49, berasal dari Kampung Hulu Padang Sanai Kanan, dalam perjalanan pulang bersama abangnya sebelum bertembung dengan gajah yang tiba-tiba menyerang mereka.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Noh Idris berkata, bagaimanapun abang mangsa dikenali sebagai Husin, berusia lingkungan 50-an, sempat melarikan diri dan mengelak dari diserang haiwan liar itu.

“Mangsa bersama abangnya dilaporkan baharu sahaja selesai melakukan kerja di dusun mereka di Kampung Kah Ing sebelum secara tiba-tiba diserang gajah.

“Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan patah tangan kanan akibat dipijak gajah berkali-kali,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Difahamkan, sebaik haiwan liar itu beredar, abang mangsa dapat menyelamatkan mangsa dan membawanya pulang ke rumah mereka.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Nerang (HKN) bagi mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal akibat kecederaan parah dialaminya.

Noh berkata, setakat ini pihaknya belum membuat lawatan ke tempat kejadian berikutan cuaca gelap dan berisiko berikutan kedudukan dusun di pinggir hutan.

“Kami sudah pun memaklumkan kejadian ini kepada Jabatan Perhilitan Kedah untuk mengesan sama ada gajah terbabit masih berada sekitar kawasan dusun mangsa atau tidak.

“Kes mangsa diklasifikasi sebagai kematian mengejut dan mayat mangsa sudah dibenarkan dibawa pulang ke rumah keluarganya sebentar tadi,” katanya.

Sementara itu, saudara mangsa, Mat Daud Ahmad, 59, berkata gajah terbabit mungkin terkejut dengan kehadiran arwah dan abangnya menyebabkannya naik angin.

“Arwah dikatakan cuba melarikan diri ketika kejadian, tetapi gagal sebelum dipijak pada bahagian muka sebelum dia dapat ditarik abangnya yang kemudian terus membawa dia ke hospital menggunakan kereta.

“Jenazah arwah sudah dituntut malam ini dan dijangka dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu, Padang Sanai Kanan, pagi ini," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 12:53 AM