Siti Anida menerima cek Pencen Penakat daripada Pengarah Perkeso Melaka Fadhilah Hamil, di rumahnya di Taman Paya Emas, Cheng, Melaka. - Foto RASUL AZLI SAMAD
Siti Anida menerima cek Pencen Penakat daripada Pengarah Perkeso Melaka Fadhilah Hamil, di rumahnya di Taman Paya Emas, Cheng, Melaka. - Foto RASUL AZLI SAMAD
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Balu kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Allahyarham Mohd Ridzuan Md Yusop yang maut digilis lori ketika bertugas di Shah Alam, Selangor, menerima Pencen Penakat dari skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hari ini.

Siti Anida Lihat, 35, berkata dia dan keluarga tidak tahu dia layak menerima Pencen Penakat kerana suaminya berkerja sebagai penjawat awam.

"Saya terkejut apabila dihubungi Perkeso pada 28 November lalu, supaya segera menguruskan Faedah pengurusan Mayat (FPM) dan sekarang, mereka datang menyerahkan cek bayaran Pencen Penakat.

"Saya difahamkan pencen ini akan diterima selagi saya hidup dan anak akan menerimanya selagi belum mencapai usia 21 tahun," kata Anida yang sebak ketika menerima sumbangan itu daripada Perkeso di rumahnya di Taman Paya Emas, Cheng, Melaka.

Anida berkata, pencen berkenaan amat berguna kepadanya keluarganya kerana dia suri rumah dengan anak sulung Nur Dhamirah baru berusia empat tahun serta anak kembar dalam kandungannya berusia dua bulan.

Pengarah Perkeso Negeri Fadhilah Hamil berkata, pihaknya menyiasat latar belakang Allahyarham Mohd Ridzuan yang meninggal dunia pada 23 November lalu, selepas mengetahuinya melalui media.

Menurutnya, Allahyarham pernah mencarum untuk skim terbabit ketika berkerja dengan syarikat swasta sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 5:44 PM