PENUNGGANG dan pembonceng yang ditahan dalam operasi samseng Jalan Raya di Persiaran Brash Ipoh di Unit Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh. FOTO Ihsan PDRM
PENUNGGANG dan pembonceng yang ditahan dalam operasi samseng Jalan Raya di Persiaran Brash Ipoh di Unit Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh. FOTO Ihsan PDRM
Muhammad Apendy Issahak


TAMAN Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh yang menjadi tumpuan warga bandar raya beriadah setiap hujung minggu dicemari dengan kegiatan kumpulan mat rempit yang menjadikan ia tempat berkumpul dan berlumba.

Kumpulan terbabit bukan sahaja berlumba pada siang hari di kawasan berkenaan hingga membahayakan pengunjung tetapi turut menimbulkan keadaan bising dan mengganggu lalu lintas serta ketenteraman penduduk sekitar.

Susulan keadaan itu polis yang mendapat aduan awam melancarkan Operasi Khas Samseng Jalanan dengan membuat serbuan dan mengepung kawasan terbabit lewat petang semalam.

Operasi bermula jam 6 petang dan berakhir 11 malam tadi itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh membabitkan tiga pegawai serta 19 anggota dan berjaya memeriksa 103 kenderaan dengan 114 individu berusia 15 hingga 43 tahun.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, serbuan dilakukan dengan polis membuat sekatan di tiga laluan di taman rekreasi berkenaan iaitu Jalan Sultan Azlan Shah, Lorong Tun Dr Ismail dan Persiaran Brash.

“Pemeriksaan membabitkan 100 motosikal dengan 108 penunggang dan pembonceng termasuk 13 wanita, manakala selebihnya adalah tiga kereta dengan enam pemandu dan penumpang.

“Hasil pemeriksaan sebanyak 67 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan tiga motosikal disita termasuk satu yang dilaporkan hilang pada 29 Ogos lalu,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurutnya, polis turut menahan lima individu membabitkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang menunggang motosikal secara melulu dengan cuba merempuh dua anggota polis yang ingin menahannya.

“Seorang lagi remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu selain tiga lelaki berusia 20-an didapati positif dadah jenis ganja dan syabu,” katanya.

Mohd Ali berkata, dua remaja berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42(1) dan 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala tiga lagi tangkapan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 8:50 AM