PENUNTUT Malaysia di Universiti Al-Azhar ketika menyertai program kebajikan kelas buta huruf untuk penduduk miskin.
PENUNTUT Malaysia di Universiti Al-Azhar ketika menyertai program kebajikan kelas buta huruf untuk penduduk miskin.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kemiskinan hidup menyaksikan ramai rakyat Mesir daripada keluarga miskin masih buta huruf biarpun mereka hidup di tengah bandar.

Menyedari kekurangan itu, Universiti Al-Azhar dan Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) Cawangan Mesir mengambil inisiatif menyediakan kelas percuma untuk remaja dan dewasa buta huruf sejak Julai lalu.

Timbalan Ketua Unit Multimedia dan Penerangan YDKMM Mesir, Nur Siti Aishah Hamzah berkata, faktor kedaifan hidup menyebabkan mereka yang tidak berkemampuan memilih tidak ke sekolah.

“Sebahagian besar rakyat Mesir tidak dapat membaca dan menulis atas faktor kemiskinan hidup, lebih-lebih lagi masyarakat yang tinggal jauh di pedalaman.

“Realitinya kanak-kanak dan remaja di Mesir tidak diwajibkan ke sekolah walaupun mereka hidup di tengah-tengah bandar,” katanya, semalam.

KANAK-KANAK dan remaja miskin bandar antara yang tercicir pelajaran.
KANAK-KANAK dan remaja miskin bandar antara yang tercicir pelajaran.

Menurutnya, berikutan itu, mereka membuka kelas pembelajaran khusus untuk remaja dan dewasa yang buta huruf.

“Dengan peluang ini, mereka mampu belajar tanpa mengeluarkan wang yang mungkin tidak cukup pun untuk membiayai kehidupan mereka sekeluarga.

“Saya dapat saksikan ada antara mereka yang sudah berusia sanggup membawa cucu masih kecil kerana ingin merebut peluang keemasan ini.

“Secara tidak langsung semangat belajar seperti ini menjadi pendorong kepada saya dan rakan untuk terus maju dalam pelajaran masing-masing,” katanya.

GOLONGAN  warga emas turut mengikuti kelas buta huruf.
GOLONGAN warga emas turut mengikuti kelas buta huruf.

Nur Siti Aishah berkata, penganjuran kelas berkenaan mendapat sokongan penuh Kementerian Pertanian, Ibu dan Anak Daerah Gharbiyyah, Tanta yang menyediakan guru dan lokasi kelas.

“Kaedah pengajaran dan pembelajaran melalui latihan mengenal huruf seperti mengisi huruf dalam tempat kosong, bulatkan huruf dan perkataan yang dibacakan dan aktiviti suai gambar.

“Memandangkan pendidikan keperluan penting dalam hidup setiap individu, YDKMM Mesir menyokong idea dibawakan Universiti Al-Azhar dan insya-Allah kami memperbaiki dan meneruskan program ini,” katanya.

 KELAS buta huruf percuma yang disediakan di daerah Gharbiyyah, Tanta, Mesir.
KELAS buta huruf percuma yang disediakan di daerah Gharbiyyah, Tanta, Mesir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 12:09 PM