MENTERI Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun pada Majlis Perjumpaan bersama Pengerusi Jawatankuasa Kariah dan Setiausaha Masjid-Masjid Negeri Sembilan di Klana Resort, Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
MENTERI Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun pada Majlis Perjumpaan bersama Pengerusi Jawatankuasa Kariah dan Setiausaha Masjid-Masjid Negeri Sembilan di Klana Resort, Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Ifwan Tun Tuah


ELAUN bilal dan siak masjid di seluruh Negeri Sembilan akan dinaikkan sekurang-kurangnya 50 peratus bermula awal tahun depan.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, elaun bulanan sebanyak RM200 yang diterima ketika ini sudah terlalu lama tidak disemak semula sedangkan tugas dan tanggungjawab bilal dan siak semakin bertambah.

"Kita dapati terdapat perbezaan besar antara elaun bilal dan siak dengan yang diterima oleh imam iaitu RM850.

"Kita sedar skop tugas bilal dan siak lebih banyak termasuk membersihkan masjid dan biasanya perlu datang ke masjid lebih awal daripada imam. Malah, ada juga kes tugas imam dipangku oleh bilal," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis Perjumpaan Pengerusi Jawatankuasa Kariah dan Setiausaha Masjid bersama Menteri Besar, di Seremban, hari ini.

Yang turut hadir, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad; Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Mohamed Husein dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik.

Aminuddin berkata, pihaknya sedang membuat kajian lanjut berkaitan perkara itu dan jumlah kenaikan sebenar akan diumumkan tidak lama lagi.

Sementara itu, Aminuddin berkata, pemilihan jawatankuasa masjid bermula sesi 2019 dan seterusnya akan dibuat secara demokrasi membabitkan proses pengundian oleh ahli kariah.

"Sebelum ini, pemilihan jawatankuasa masjid dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Kali ini, kita beri kebebasan kepada ahli kariah sendiri memilih pemimpin masjid yang mereka inginkan.

"Setiap ahli jawatankuasa juga hanya boleh dipilih bagi tempoh maksimum dua penggal atau empat tahun dan perlu berehat selama satu penggal jika ingin bertanding semula.

"Kita tetapkan peraturan ini bagi mengelakkan masjid ditadbir oleh ahli jawatankuasa yang sama untuk tempoh terlalu lama sehingga menimbulkan suasana kurang selesa kepada ahli kariah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 1:11 PM