GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pulau Pinang menangguhkan beberapa aktiviti di masjid dan surau negeri itu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dikuatkuasakan bermula 13 hingga 26 Januari ini.

Timbalan Ketua Menteri I yang juga Yang DiPertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata, antara aktiviti yang ditangguhkan ialah solat fardu dan Jumaat bagi orang awam serta akad nikah.

Menurutnya, juga ditangguhkan ialah ceramah, kelas pengajian, bacaan Yassin dan tahlil serta ziarah kubur.

"Selain itu, mesyuarat agung pemilihan jawatankuasa kariah juga perlu ditangguhkan.

"Namun terdapat beberapa aktiviti yang dibenarkan bagi meneruskan fungsi masjid dan surau," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Zakiyuddin berkata, aktiviti terbabit ialah azan dan solat fardu yang terhad kepada lima individu membabitkan imam, bilal, siak serta dua ahli jawatankuasa masjid.

Katanya, juga dibenarkan solat Jumaat yang hanya membabitkan 15 individu iaitu imam, bilal, siak dan 15 ahli jawatankuasa masjid.

"Bagi pengurusan jenazah pula dihadkan kepada imam dan ahli keluarga terdekat, manakala pengebumian pula terhad kepada 10 individu sahaja," katanya.

PKP 2.0 yang diumumkan semalam oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membabitkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Johor, Sabah dan Melaka.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 8:14 PM