Rumah P Ramlee di Pulau Pinang (atas) dan di Kuala Lumpur (bawah). FOTO Syed Ismail Syed Abu Bakar dan ihsan Arkib Negara
Rumah P Ramlee di Pulau Pinang (atas) dan di Kuala Lumpur (bawah). FOTO Syed Ismail Syed Abu Bakar dan ihsan Arkib Negara
Syalikha Sazili

TIMBUL kekeliruan membabitkan lokasi sebenar rumah kelahiran seniman agung, Tan Sri P Ramlee semeasa perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ia bermula apabila Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi memberi laluan kepada RSN Rayer (PH-DAP Jelutong) untuk mencelah ketika penggulungan perbahasan titah diraja.

Rayer meminta kementerian memberi perhatian terhadap usaha menaik taraf rumah P Ramlee yang dikatakan sudah usang.

“Saya merayu supaya pihak kementerian memberi perhatian kepada rumah seniman teragung, P Ramlee, yang kita banggakan.

“Saya bangga dengan beliau kerana berasal dari Pulau Pinang dan sehingga kini filemnya dipertontonkan.

“Rumah beliau di Pulau Pinang itu semakin usang dan hampir tenggelam ketika banjir, maka saya rayu YB menteri buat temujanji dengan saya, saya bawa pergi makan dan lawat rumah P Ramlee,” katanya.

Belum sempat Mohamaddin menjawab, Dr Tan Yee Kew (PH-PKR Wangsa Maju) bangun mencelah.

“Saya hanya nak betulkan Jelutong, rumah P Ramlee bukan di Pulai Pinang tapi di Wangsa Maju di Taman P Ramlee,” katanya dan disambut dengan gelak tawa Ahli Parlimen lain.

Mohamaddin kemudian meminta kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan menentukan lokasi sebenar rumah P Ramlee.

“Saya minta dua-dua YB tentukan mana satu rumah P Ramlee yang kita nak baiki.

“Kalau kita pergi Pulau Pinang dia bilang KL, kalau kita pergi KL dia bilang Pulau Pinang,” katanya dalam nada berseloroh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 7:02 PM