ZAINAL  (dua dari kanan) menunjukkan dadah  serta peralatan menghisap dadah yang  dirampas.
ZAINAL (dua dari kanan) menunjukkan dadah serta peralatan menghisap dadah yang dirampas.
Roselan Ab Malek

Nazirul Roselan

Jerantut: Dua pengedar dadah yang menjadikan pondok menunggu durian di Ulu Cheka dan Batu Balai sebagai pusat pengedaran barang larangan itu ditahan polis dalam Ops Tapis, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut Deputi Superintendan Zainal Omar Mahamud berkata, suspek pertama yang berusia 49 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Perlok, Ulu Cheka jam 6 pagi.

Menurutnya, suspek yang bekerja buruh ditahan bersama dadah jenis heroin seberat 8.67 gram dan syabu (0.39 gram) yang ditemui dalam beg miliknya.

“Dia dipercayai bergiat aktif di sekitar Ulu Cheka dan Batu Balai sejak dua tahun lalu dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Zainal Omar berkata, suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau dengan dua kes berkaitan dengan dadah manakala satu lagi rekod jenayah.

Menurutnya, seorang penoreh getah pula ditahan di sebuah rumah di kampung sama dalam serbuan berasingan kira-kira jam 7 pagi.

Katanya, suspek berusia 30 tahun ditahan di belakang rumah ketika leka membungkus dadah dan hasil pemeriksaan menemui heroin seberat 15.70 gram dan syabu (1.96 gram) dengan nilai keseluruhan RM1,000.

“Suspek juga aktif mengedar dadah di sekitar Ulu Cheka dan baru berjinak dalam kegiatan itu sejak lima bulan lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 11:24 AM