Antara dadah yang rampas  oleh Polis Jerantut  daripada empat pengedar dadah dalam dua operasi berasingan. Gambar Ihsan PDRM
Antara dadah yang rampas oleh Polis Jerantut daripada empat pengedar dadah dalam dua operasi berasingan. Gambar Ihsan PDRM
Roselan Ab Malek


Jerantut: Penahanan dua buruh lelaki membawa penemuan sejumlah dadah dalam kereta dinaiki mereka ketika ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Pekan Damak, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 11 pagi, kedua-dua lelaki masing-masing berusia 38 tahun yang berasal dari Felda Jengka 13 dan Felda Jengka 22 ditahan untuk siasatan.

Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Mazlan Hassan berkata, ketika ditahan, mereka memberi alasan mahu pulang ke kampung di Batu Balai, di sini, tetapi keadaan dua lelaki itu didapati mencurigakan.

Menurutnya, anggota polis kemudian membuat pemeriksaan ke atas kereta Proton Wira yang dinaiki mereka.

"Hasil pemeriksaan lanjut menjumpai satu beg kecil berwarna biru yang disembunyikan di bahagian bumbung kereta mengandungi dadah jenis heroin seberat 37.19 gram dan syabu seberat 4.74 gram.

"Kedua-dua dua suspek positif dadah dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mazlan berkata, dua pengedar dadah ditahan ketika sedang menunggu pelanggan di Kampung Mat Kilau, di sini, pada 1.40 tengah hari semalam.

Menurutnya, kedua-dua suspek lelaki berusia 29 dan 40 tahun sebelum itu dijejaki polis kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

"Pemeriksaan ke atas Proton Satria milik suspek menjumpai satu beg warna hitam yang diletakkan di atas pemijak kaki bahagian penumpang hadapan.

"Berikutan itu, polis merampas dadah jenis heroin seberat 106 gram, syabu (81 gram) dan pil Erimin 5 (30 biji) di mana kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 7:27 PM