Oleh Ahmad Saufi Mansor


Alor Setar: Polis menahan dua lelaki sebelum merampas dadah jenis heroin seberat 2.29 kilogram dan syabu seberat 263 gram dalam serbuan di Taman Gemilang, Jitra, dekat sini, kelmarin.

Serbuan dilakukan kira-kira 7 malam ke atas dua lelaki berusia 23 hingga 43 tahun di dalam sebuah kereta di kawasan letak kereta di taman perumahan itu selepas menerima maklumat.

Ketua Jabatan Siasatan Narkotik negeri Superintendan Helmi Aris berkata, sebelum itu dua lelaki terbabit dipercayai cuba melarikan diri, namun gagal akibat sudah dikepung.

"Pemeriksaan lanjut menemui dadah jenis heroin seberat 2.29 kilogram dan syabu (263 gram) dalam sebuah beg kecil dalam but belakang kereta terbabit.

"Berikutan itu, dadah bernilai keseluruhan RM91,000 dirampas dan kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau ditahan untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 27 September ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 4:18 PM