Shahril Sufian
Shahril Sufian
Mohd Azrone Sarabatin dan Mohd Nasaruddin Parzi

Shah Alam: Kerjasama UMNO dan PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis lebih bermakna jika pimpinan tertinggi PAS mengeluarkan kenyataan sokongan kepada calonnya.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, ia juga sebagai isyarat kepada usaha pengukuhan dan kesepaduan politik Melayu.

Beliau berkata, biarpun beberapa pemimpin tertinggi PAS menyarankan ahlinya menyokong calon BN, Datuk Lokman Noor Adam, ia masih menjadi hak kepada pengundi di DUN berkenaan.

“Calon kami merayu undi pengundi yang mengundi PAS tempoh hari.

“Bagi saya ini soal keikhlasan dan hak pengundi dan pemimpin PAS setempat yang kami hormati,” katanya.

Beliau ditanya mengenai sama ada perlu lebih ramai pemimpin tertinggi PAS, terutama Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan saranan menyokong calon BN dalam PRK ini.

Beliau berkata, kerjasama politik antara UMNO dan PAS ini diakui memerlukan masa dan berharap di PRK DUN Sungai Kandis ini menjadi titik permulaannya.

Biarpun undi PAS penting bagi BN, Shahril berkata, parti itu juga perlu berusaha meningkatkan semula popularitinya kepada pengundi bukan saja di DUN Sungai Kandis, malah seluruh negara.

“Penting UMNO dan BN fokus kekuatan dan populariti parti sendiri dalam kalangan pengundi di Sungai Kandis serta secara amnya supaya tidak terlalu bergantung harap ihsan pihak lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 11:06 AM