Pokok jati yang tumbang dan tersangkut pada rangka atap rumah di Kampung Indai, semalam. FOTO Ihsan APM
Pokok jati yang tumbang dan tersangkut pada rangka atap rumah di Kampung Indai, semalam. FOTO Ihsan APM
Recqueal Raimi


POKOK jati tumbang dan tersangkut pada rangka atap sekali gus menyelamatkan nyawa enam sekeluarga daripada dihempap di Kampung Indai, Tuaran semalam.

Dalam kejadian 3 pagi itu, pokok berukuran sembilan meter tiba-tiba tumbang selepas ribut dan menyebabkan bumbung rumah berkenaan rosak.

Pemilik rumah yang mahu dikenali Zul, 39, berkata, ketika kejadian mereka tidur dan terkejut selepas terdengar dentuman kuat seperti bunyi petir pada bumbung rumah.

“Angin kuat menyebabkan pokok di halaman tumbang dan menghempap bahagian tepi rumah.

“Mujur pokok itu tersangkut pada rangka atap, kalau tidak mungkin kami turut dihempap ketika tidur,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zul berkata, dia dan ahli keluarganya terpaksa berpindah ke ruang tamu selepas sebahagian bumbung rumah terutamanya di bahagian bilik rosak dan hujan memasuki ruangan rumah.

“Kejadian itu menyebabkan zink pada bahagian bilik tidur dan dapur rosak serta turut menyebabkan sebahagian rumah basah kerana hujan lebat ketika itu.

“Kami hanya mampu berdoa supaya tiada kejadian tidak diingini berlaku. Selepas keadaan reda, barulah kami hubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan, ” katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Tuaran, Paulina Francis berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu pada 2.17 petang dan sepasukan anggota dikerah ke lokasi.

“Pokok jati berukuran sembilan meter yang tumbang itu adalah kejadian ketiga selepas kejadian sama berlaku di Kampung Saman dan Kampung Berungis.

“Anggota APM memotong semua pokok terbabit dan membersihkan setiap kawasan. Operasi tamat 4.30 petang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 10:27 AM