Iskandar Shah Mohamed


MENTERI Besar Selangor, Amirudin Shari mengingatkan pengundi supaya tidak terlalu selesa sehingga tersilap membuat pilihan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Ia termasuk tidak keluar mengundi kerana beranggapan PKR mudah menang PRK itu dan mengekalkan kerusi itu.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PRK itu berkata, rakyat perlu terus memberi kepercayaan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir negara termasuk menang kerusi DUN berkenaan.

“Walaupun PRK ini mungkin tidak ‘menyentuh’ atau mengubah apa-apa, kita tidak boleh memandang mudah sehingga membuat kesilapan.

“Rakyat tidak boleh tersalah isyarat untuk mengekalkan arus perubahan kepada negara dan terus kekal dengan PH seperti pilihan raya terdahulu.

“Jangan terlalu selesa dan takut untuk keluar mengundi pada 4 Ogos nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Bilik Gerakan Utama PKR di Jalan Bukit Kemunting di Shah Alam, petang tadi.

Turut hadir, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

(Gambar kecil) Petugas SPR membuat persiapan di pusat mengundi bagi PRK N 49 Sungai Kandis, hari ini. Foto NSTP/OSMAN ADNAN & BERNAMA
(Gambar kecil) Petugas SPR membuat persiapan di pusat mengundi bagi PRK N 49 Sungai Kandis, hari ini. Foto NSTP/OSMAN ADNAN & BERNAMA

Amirudin berkata, kerajaan Selangor selama ini tidak melaksanakan projek pembangunan hanya ketika pilihan raya sebaliknya ia dilakukan untuk rakyat negeri itu.

“Jangan terlalu mempercayai isu yang dimainkan pembangkang kerana kita sudah melaksanakan pelbagai projek termasuk kemudahan infrastruktur seperti menaik taraf longkang serta jalan raya di Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta pengundi tidak terpengaruh atau ‘simpati’ dengan pembangkang yang menggunakan alasan mahu suara pembangkang ditambah di negeri ini.

“Ia bukan soal menambah suara pembangkang tetapi suara rakyat yang inginkan perubahan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai isu kerjasama BN dan PAS bagi PRK itu, Amirudin berkata, beliau menerimanya secara terbuka dan menganggap ia lebih kepada demokrasi.

“Kita terima perkara itu dan sesiapa saja boleh bekerjasama dalam kempen pilihan raya.

“Namun, rakyat perlu menilai pihak mana yang mahu dipilih terutama sekiranya mahu terus dibantu kerajaan negeri apatah lagi PH kini sudah menjadi Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 8:29 PM