Nor Akmar Samudin dan Husna Alias

cnews @nstp.com.my

POS Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan Set Folder Edisi Terhad Setem Ku Khas Tun Mahathir sempena ulang tahun kelahiran Perdana Menteri ke-93 pada 10 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Al-Ishsal Ishak berkata, pihaknya memberi penghormatan kepada ikon prolifik negara itu dengan menghasilkan set folder istimewa berkenaan.

“Tun Dr Mahathir Mohamad mendedikasikan seluruh hidupnya demi memperkasakan Malaysia, dan ini adalah cara kami untuk menyatakan terima kasih atas segala usaha serta pengorbanan beliau kepada negara,” katanya pada sidang media di di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, penjualan setem berkenaan selain dijadikan koleksi kenangan, ia juga bertujuan mengumpul dana Tabung Harapan Malaysia di mana setiap RM5 daripada hasil jualan akan disalurkan ke tabung berkenaan.

Katanya, set folder itu mengandungi tiga reka bentuk Setem Ku yang memaparkan saat ceria keakraban Dr Mahathir bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan detik bersejarah upacara angkat sumpah beliau sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Setem Ku yang memaparkan tiga reka bentuk setem yang berbeza itu mempunyai nilai muka berjumlah 60 sen setiap satu.

“Kami hanya mengeluarkan 100,000 keping untuk setiap reka bentuk Setem Ku itu (300,000 secara keseluruhan).

“Setiap set lengkap itu dijual pada harga RM93 dan boleh didapati di semua Pejabat Pos Besar, pejabat pos terpilih di seluruh negara dan pembelian secara dalam talian di eziEMall.com,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 5:00 PM
KAKITANGAN Pos Malaysia, Nurul Nadiana Mohd Tahir memegang set setem Ku Khas Tun Mahathir yang dikeluarkan sempena ulang tahun kelahiran Perdana Menteri ke-93 di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Zulfadhli Zulkifli
KAKITANGAN Pos Malaysia, Nurul Nadiana Mohd Tahir memegang set setem Ku Khas Tun Mahathir yang dikeluarkan sempena ulang tahun kelahiran Perdana Menteri ke-93 di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Zulfadhli Zulkifli