Mohd Husni Mohd Noor dan Hidir Reduan dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan kembali lagi ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi esok bagi memberi keterangan berhubung isu penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.

Hari ini, Ahmad Zahid selesai memberi keterangan berhubung kenyataan isu derma RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dibuatnya ketika bertemu dengan wakil keluarga Raja Arab Saudi pada 2015.

Ahmad Zahid ketika ditemui media berkata, hari ini beliau memberi keterangan terhadap isu berkenaan dan ia sudah selesai sepenuhnya.

"Esok saya akan sambung (memberi keterangan) mengenai isu Yasayan Akalbudi dan saya akan maklumkan mengenainya esok.

"Saya ucapkan terima kasih kerana mereka (SPRM) kerana cukup profesional dan memberikan ruang secukupnya kepada saya untuk membuat penjelasan," katanya.

Katanya, beliau amat yakin bahawa isu-isu berkaitan persoalan yang selama ini menjadi persepsi rakyat dapat dirungkaikan oleh SPRM.

Berhubung keterangannya mengenai kenyataan isu derma berkenaan, Ahmad Zahid berkata, SPRM mahu penjelasan terperinci mengenai maklumat pertemuan itu memadangkan sebelum ini agensi itu hanya memperoleh maklumat berkenaan menerusi media.

Ditanya lanjut oleh wartawan siapa yang memberikan derma dan dana berkenaan, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak perlu menjawab soalan berkenaan sebaliknya hanya memberi jawapan kepada SPRM.

Pada 2015, Ahmad Zahid mengesahkan secara peribadi sudah bertemu wakil keluarga dari Asia Barat, yang menderma RM2.6 bilion kepada bekas Perdana Menteri itu.

Menurutnya, Malaysia bukan satu-satunya negara yang menerima dana berkenaan, sebaliknya, keluarga berkenaan memaklumkan turut memberikan dana kepada negara lain.

Ahmad Zahid turut mendakwa, negara penderma juga mahu melihat UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal menjadi pemerintah di Malaysia termasuk memastikan kemenangan BN ketika pilihan raya umum ke-13.

Terdahulu, Ahmad Zahid tiba di Ibu Pejabat SPRM pada 9.50 pagi sebelum beredar meninggalkan bangunan itu pada 6.30 petang iaitu selepas lapan jam memberi keterangan.

Esok pagi, Ahmad Zahid akan memberi keterangan berhuhung isu penyelewengan dana yayasan diterajui beliau bernilai lebih RM800,000.

Sebelum ini, beberapa portal berita melaporkanAhmad Zahid, yang juga pengerusi yayasan tersebut, disyaki menggunakan dana yayasan itu untuk membayar kad kredit miliknya dan isterinya.

Ahmad Zahid pada sidang media sebelum ini menafikan perkara itu dan memaklumkan yayasan itu dimiliki keluarganya dan beroperasi menjalankan aktiviti kebajikan termasuk membina masjid dan membangunkan maahad tahfiz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 9:58 PM