RESTORAN di Jalan Bendahara 2, Taman Sejati, Klang diserbu sepasukan polis sebaik menerima maklumat dan risikan restoran terbabit menggunakan wanita seksi bagi menarik pelanggan. FOTO Ihsan PDRM
RESTORAN di Jalan Bendahara 2, Taman Sejati, Klang diserbu sepasukan polis sebaik menerima maklumat dan risikan restoran terbabit menggunakan wanita seksi bagi menarik pelanggan. FOTO Ihsan PDRM
Siraj Mohd Zaini


TAKTIK restoran di Jalan Bendahara 2, Taman Sejati, Klang menggunakan wanita seksi bagi menarik orang ramai ke premis berkenaan, tidak bertahan lama apabila diserbu oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, 11.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan polis yang mendapati premis terbabit menggunakan khidmat wanita warga asing sebagai 'pelaris' di restoran itu.

Katanya, hasil pemeriksaan, polis menahan 24 wanita warga Vietnam berusia 18 hingga 44 tahun yang dipercayai bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO).

"Empat lelaki tempatan, dua lelaki Bangladesh yang dipercayai bekerja di premis berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.

"Polis turut memeriksa 10 pelanggan dan hasil dokumentasi semua mereka tidak memiliki rekod jenayah atau dikehendaki polis," katanya kepada NSTP, hari ini.

Beliau berkata, wanita warga asing itu berperanan sebagai pelayan dan peneman kepada pelanggan, malah premis terbabit turut mempunyai laluan belakang bagi memudahkan mereka melarikan diri sekiranya diserbu pihak berkuasa.

Shamsul Amar berkata, polis merampas beberapa peralatan di restoran terbabit seperti mikrofon, peralatan DVD serta resit jualan untuk siasatan selanjutnya.

Difahamkan, premis berkenaan pernah diserbu polis pada tahun lalu dan dipercayai baru beroperasi semula baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 3:33 PM