JENAZAH Muhamad Shakir Ishak yang maut dalam kemalangan di Simpang 4 Jalan Bukit Wang ditutup dengan kain pelikat selepas motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah lori semalam. Foto NSTP/IHSAN PEMBACA
JENAZAH Muhamad Shakir Ishak yang maut dalam kemalangan di Simpang 4 Jalan Bukit Wang ditutup dengan kain pelikat selepas motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah lori semalam. Foto NSTP/IHSAN PEMBACA
Zuliaty Zulkiffli


“BUNYI dentuman sangat kuat, saya lihat penunggang motosikal terpelanting jatuh dan tidak sedarkan diri," kata saksi kejadian kemalangan di Simpang 4, Jalan Bukit Wang, Jitra, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, pekerja kilang, Muhamad Shakir Ishak, 23, maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Ayoi, 25, berkata, orang ramai cuba membantu penunggang motosikal terbabit termasuk cuba mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah, namun dia sudah tidak sedarkan diri lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Jitra menghala ke Bukit Wang sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Katanya, disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu lori berusia 52 tahun gagal mengelak mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Barokhas, Kuala Nerang.

"Akibat kejadian itu, mangsa dipercayai terpelanting ke sebelah kiri jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk dibedah siasat, manakala pemandu lori di bawa ke Balai Trafik Jitra bagi diambil keterangan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ismail berkata, mangsa adalah pekerja di kilang HPA di Napoh dan mempunyai lesen memandu serta memakai topi keledar ketika kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 11:45 AM