KEADAAN lori yang dibakar orang ramai.
KEADAAN lori yang dibakar orang ramai.

Bidor: Seorang pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang mereka naiki bergesel dengan sebuah lori tiga tan di Kilometer 3, Jalan Bidor-Teluk Intan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam, mangsa, Mohamad Samsuri Japri, 22, yang juga penunggang bersama rakannya, S Moorthy, 27, dalam perjalanan menuju ke Teluk Intan dipercayai terjatuh sebelum terseret atas jalan.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, siasatan awal mendapati sebuah lori jenis Daihatsu membawa muatan kelapa sawit dalam perjalanan dari Teluk Intan menuju sebuah kilang di Tapah gagal mengelak lalu bergesel dengan motosikal mangsa dari arah bertentangan.

“Akibat pergeselan itu, penunggang dan pembonceng motosikal terjatuh dan mengalami cedera parah.

“Pemandu lori cuba memberhentikan lori di tepi jalan untuk memberi bantuan, namun melarikan diri selepas diancam orang awam sehingga lorinya dibakar oleh orang awam yang berhenti di tempat kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:06 AM