ISMAIL melambai tangan selepas keluar dari perkarangan Istana Arau dipercayai baru menghadap Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada 16 Mei lalu berikutan kemelut perlantikan Menteri Besar Perlis. FOTO Azhar Ramli.
ISMAIL melambai tangan selepas keluar dari perkarangan Istana Arau dipercayai baru menghadap Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada 16 Mei lalu berikutan kemelut perlantikan Menteri Besar Perlis. FOTO Azhar Ramli.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang juga adik Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim umum keluar UMNO untuk menjadi ADUN Bebas.

Pengumuman keluar parti itu dibuat Ismail yang menghubungi media untuk memaklumkan keputusan dibuatnya itu.

“Secara rasminya saya sudah keluar dari UMNO dan BN untuk menjadi wakil rakyat bebas dalam negeri ini.

“Keputusan ini dibuat atas beberapa faktor dan antaranya ialah saya sudah hilang keyakinan kepada pucuk kepemimpinan parti,” katanya.

Ismail berkata, keputusan keluar parti itu sudah mula difikirkan sejak 2008 iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) lalu.

“Saya perlu memikirkan apa yang terbaik untuk rakyat dan perlu untuk menjalinkan hubungan dengan Kerajaan Pusat.

“Terutamanya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat... maka saya perlu seiringan dengan Kerajaan Pusat,” katanya.

Ismail turut mengumumkan bakal menyertai Pakatan Harapan (PH) melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara terbabit akan diumumkan dalam jangka masa terdekat.

“Keputusan ini dibuat tanpa pengetahuan abang saya (Shahidan) dan saya bukan 'puppet' (boneka) dan dia nak tahu pasal apa?.

“Melalui pengumuman ini secara tidak langsung beliau (Shahidan) akan tahu.

“Saya nak buktikan bahawa soal adik beradik tak timbul dalam politik dan saya berharap dengan keputusan ini semua pihak dapat menerima dengan lapang dada,” katanya.

Ismail mula menyertai UMNO sejak 30 tahun lalu iaitu ketika berusia 28 tahun dan pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Perlis, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau.

Pada PRU-14 lalu, Ismail berjaya mengekalkan kemenangan BN di DUN Tambun Tulang dan namanya antara yang dicalonkan untuk menjadi Menteri Besar Perlis oleh abangnya sebelum Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail melantik ADUN Bintong, Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 12:08 AM