ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kulim/Bandar Baharu bersama orang awam mengangkat lembu jantan yang terjatuh ke dalam  longkang  di Kampung Sungai Limau, Kulim. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kulim/Bandar Baharu bersama orang awam mengangkat lembu jantan yang terjatuh ke dalam longkang di Kampung Sungai Limau, Kulim. FOTO Ihsan APM
Azahar Hashim


LEMBU jantan yang terjatuh ke dalam longkang sedalam satu meter berhampiran stesen minyak di Kampung Sungai Limau, Kulim, diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kulim, semalam.

Dalam kejadian 2.45 petang itu, lembu itu yang terjatuh ke dalam longkang itu gagal keluar sebelum disedari orang awam yang kemudian menghubungi pihak APM.

Pegawai APM Kulim, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3 petang daripada orang awam yang menghubungi talian kecemasan 999 sebelum disambungkan ke pejabat APM Daerah Kulim/Bandar Baharu untuk memberi bantuan.

Katanya, selepas menerima panggilan itu empat anggota APM bergegas ke tempat kejadian bagi memberi bantuan.

"Sebaik tiba, lelaki itu memaklumkan kepada anggota APM kedudukan lembu terbabit yang berada di dalam longkang.

"Lelaki itu ternampak haiwan terbabit ketika dia meninjau di kawasan berhampiran selepas terdengar bunyi haiwan berkenaan yang menghadapi masalah.

"Anggota APM bersama dengan beberapa orang awam berusaha membantu lembu terbabit keluar dari longkang itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Fadhil Fahmi berkata, anggota APM mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menyelamatkan haiwan terbabit.

"Lembu itu kemudian diserahkan kepada pemiliknya yang tiba di tempat kejadian selepas dimaklumkan orang awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 3:04 PM