KEADAAN rumah Abd Rahman yang musnah dalam kebakakaran di Jalan Parit Haji Ahmad, Serkat Barat Laut, Pontian, hari ini. FOTO Anja Asmara.
KEADAAN rumah Abd Rahman yang musnah dalam kebakakaran di Jalan Parit Haji Ahmad, Serkat Barat Laut, Pontian, hari ini. FOTO Anja Asmara.
Anja Asmara


KETIKA umat Islam sibuk membuat persiapan menyambut ketibaan Aidilfitri, tidak lama lagi, keluarga Abd Rahman Hassan, 47, berdepan dugaan apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran, petang ini.

Abd Rahman sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah di Jalan Parit Haji Ahmad, Serkat Barat Laut, Pontian, musnah dalam kebakaran pada 2 petang.

Ketika kejadian, Abd Rahman sekeluarga tiada di rumah kerana pergi ke Pekan Nanas untuk membeli belah bagi persiapan menyambut Aidilfitri.

Kejadian itu disedari jirannya Norhayati Ghazali, 51, yang secara kebetulan hendak pergi ke kedai membeli juadah untuk berbuka puasa.

“Apabila keluar rumah, saya nampak asap di rumah Abd Rahman dan saya menyangka dia membakar sampah sebelum terpandang api marak membakar bumbung rumah.

“Saya meminta jiran membantu sebelum menghubungi Abd Rahman yang tiada di rumah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Abd Rahman yang bekerja di Kukup Golf Resort berkata, beliau tinggal di rumah itu bersama isterinya, Nursahidah Mohamad, 43, serta empat anak mereka, Fasihah Insyra, 19; Mohd Syafiq, 17 yang juga orang kurang upaya (OKU), Farishah Izatul, 13, dan Fatin Hidayah, 5, yang semuanya masih bersekolah.

Menurutnya, sebelum kejadian dia bersama isteri dan anak mereka keluar ke Pasar Selasa di Pekan Nanas untuk membeli pakaian baru.

“Saya mengambil kesempatan pergi membeli-belah kerana semua anak bercuti dan mengambil peluang untuk membeli pakaian mereka.

“Saya mengetahui kejadian itu apabila dihubungi jiran dan mujur tiada kecederaan atau kemalangan jiwa kerana semua anak tiada di rumah,” katanya.

Abd Rahman berkata, semua dokumen penting termasuk sijil anaknya dan sijil nikahnya, geran tanah musnah dalam kebakaran itu menyebabkan mereka sekeluarga menumpang di rumah jiran.

Sementara itu, dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru dan BBP Jalan Alsagoff dengan 10 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 7:10 PM