MRT. FOTO Arkib NSTP
MRT. FOTO Arkib NSTP
Manirajan Ramasamy dan Irwan Shafrizan Ismail dan Mohd Nasaruddin Parzi


KERAJAAN memutuskan projek Transit Aliran Massa (MRT) laluan 3 atau Laluan MRT Lingkaran dibatalkan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Kabinet juga memutuskan Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) turut dibatalkan.

"Kabinet bersetuju membatalkan Projek HSR namun keputusan akhir tertakluk kepada perbincangan dengan Singapura," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.

MRT Laluan 3 dirancang kerajaan terdahulu untuk menjadi laluan rel transit ke-13, menggunakan sistem automatik sepenuhnya yang kelima dan sistem rel tanpa pemandu di Lembah Klang.

Sementara, cadangan pembatalan Projek HSR dibuat kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan alasan ia memerlukan kos tinggi.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir juga menjelaskan pembatalan dua projek itu dibuat selepas mengambil kira implikasi kewangan kerajaan.

Katanya, kerajaan juga akan melihat semua projek lain yang dibuat kerajaan sebelum ini sama ada perlu diteruskan atau dibatalkan.

Mengulas mesyuarat Kabinet hari ini, beliau berkata banyak masalah ditemui dalam pentadbiran kerajaan terdahulu terutama yang berkait dengan pembaziran.

"Menteri sudah jumpa banyak masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan dahulu. Jadi kita mesti tentukan kedudukan kewangan diurus dengan berhati-hati supaya kita mampu urus kos pentadbiran.

"Ini bukan sengaja nak turunkan tetapi kebanyakan perbelanjaan yang membazir yang boleh diketepikan tanpa menjejaskan pentadbiran negara," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga memberitahu Program Permata yang sebelum ini diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan dipindahkan ke Kementerian Pendidikan.

Ditanya sama ada isu Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut disentuh, beliau berkata perkara itu tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 2:27 PM