ANTARA barangan asas yang disediakan di dalam #HMKotakRezeki. FOTO Muhammad Sulaiman
ANTARA barangan asas yang disediakan di dalam #HMKotakRezeki. FOTO Muhammad Sulaiman
Izlaily Nurul Ain Hussein


KETERUJAAN menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi program amal Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) yang bakal berlangsung di Gelang Patah, Johor Bahru, esok semakin hangat dirasai.

Pengarang Eksekutif Projek Khas The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Othman Mamat berkata, program amal yang diadakan saban tahun pada Ramadan itu akan bermula pada 9 pagi dengan 200 anak yatim serta pelajar miskin yang diraikan berkumpul di perkarangan masjid di kampung masing-masing.

"Sebanyak lima buah bas akan disediakan untuk membawa mereka yang diraikan ini daripada lima kampung yang terbabit.

"Kami akan membawa mereka Pasar Raya Giant Tampoi untuk membeli-belah pakaian baru untuk kelengkapan hari raya Aidilfitri," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi TKHM berkata, anak yatim dan pelajar miskin yang diraikan itu nanti akan turut diberikan sumbangan duit raya.

OTHMAN Mamat.
OTHMAN Mamat.

Menurutnya, program itu turut disertakan dengan acara penyerahan #HMKotakRezeki barangan dapur dan duit raya kepada 20 keluarga miskin di Masjid Kampung Pok dan Masjid Kampung Ladang, Gelang Patah.

"Penyerahan #HMKotakRezeki barangan dapur dan duit raya ini juga akan diberikan kepada 30 keluarga miskin dari Kampung Tiram Duku, Kampung Pekajang dan Kampung Tanjung Adang selain sumbangan moreh kepada lima buah masjid dalam mukim Tanjung Kupang di Masjid Kampung Tiram Duku.

"Kita juga akan membuat pengagihan #HMKotakRezeki, juadah berbuka puasa kepada anggota pasukan keselamatan serta orang ramai di Bazar Ramadan sekitar kawasan berkenaan," katanya.

Seusai pengagihan #HMKotakRezeki, TKHM akan diteruskan dengan majlis tahlil dan doa selamat di Masjid Kampung Tiram Duku sebelum berbuka puasa bersama keluarga miskin, Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid, wakil penaja Country Garden Pacific View (CGPV) dan kru TKHM di masjid berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 8:50 PM