AHLI keluarga disisi Muhammad Eszuan yang yang maut di Jalan Felda Sendayan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sendayan, Seremban. - Foto IHSAN PEMBACA
AHLI keluarga disisi Muhammad Eszuan yang yang maut di Jalan Felda Sendayan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sendayan, Seremban. - Foto IHSAN PEMBACA
Khairul Najib Asarulah Khan


“SAYA sempat mengajar abang mengucap ketika dia dalam keadaan nazak,” kata Muhammad Eszuan, 22, adik kepada Muhammad Nizam Rosli, 26, yang maut dalam kemalangan di Jalan FELDA Sendayan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sendayan, Seremban, hari ini.

Katanya, dia mengetahui kejadian malang menimpa abangnya pada 12.45 tengah hari selepas dimaklumkan kenalan dan bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, saya lihat abang terbaring di bahu jalan dalam keadaan lemah manakala motosikalnya hancur.

“Saya terus mengajarnya mengucap sebanyak empat kali sebelum dia tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di Seremban, hari ini.

Muhammad Eszuan berkata, dia difahamkan ketika kejadian abangnya dalam perjalanan pulang ke rumah di FELDA LBJ, Sendayan.

“Arwah bekerja di kilang dedak ikan di Sendayan dan ketika kejadian motosikal ditunggangnya dikatakan bertembung dengan motosikal lain menyebabkan dia parah di badan,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Rohani Yusof, 43, berkata arwah dikenali sebagai seorang pendiam dalam kalangan ahli keluarga.

“Dia adalah anak kedua daripada lima beradik dan sangat mengambil berat tentang adiknya yang lain.

“Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sendayan,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap polis mengesahkan kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 12:43 AM