DARI kanan, Tuan Asri, Nazlee, Alfian dan Pengurus Negeri Pos Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Ishak Abd Manaf (kiri) pada Sidang Media #HMKotakRezeki2018 di Kampung Changkat, Batu Caves, semalam.
DARI kanan, Tuan Asri, Nazlee, Alfian dan Pengurus Negeri Pos Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Ishak Abd Manaf (kiri) pada Sidang Media #HMKotakRezeki2018 di Kampung Changkat, Batu Caves, semalam.
Hidayatul Akmal Ahmad


Kuala Lumpur: Affin Islamic Bank Berhad menyerahkan 11,000 Kotak Rezeki Harian Metro menerusi Program #HMKotakRezeki2018 sebagai tanda sokongan terhadap program kebajikan yang dilaksanakan menjelang Ramadan nanti.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Nazlee Khalifah berkata, 1,000 Kotak Keluarga yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak dan gula akan diserahkan kepada 72 rumah asnaf dan anak yatim di Semenanjung Malaysia.

Manakala 10,000 Kotak Individu mengandungi kurma, minuman serta biskut akan diedarkan kepada orang awam bermula 24 Mei ini.

Menurut Nazlee, objektif utama Program #HMKotakRezeki2018 membantu golongan kurang bernasib baik, miskin serta anak yatim selain merealisasikan tanggungjawab sosial korporat tahunan.

“Tahun ini tahun ketiga kami bekerjasama dengan akhbar Harian Metro selepas program yang dijalankan sebelum ini mendapat sambutan baik daripada masyarakat.

“Kami melihat program kebajikan Harian Metro meninggalkan kesan positif kepada masyarakat dan sumbangan ini sebagai tanda sokongan terhadap usaha murni ini.

“Pemberian ini tidak terhenti setakat itu. Sekiranya program ini terus berjaya, kami sentiasa menyokong memberi pelbagai bentuk sumbangan pada tahun akan datang,” katanya pada sidang media #HMKotakRezeki2018 di Rumah Perlindungan Al-Nasuha, Kg Changkat, Gombak, semalam.

Affin Bank Group adalah penyumbang setia utama sejak program #HMKotakRezeki dilancarkan pada 2016.

Untuk tahun ini, Affin Bank Group menambah sumbangan kepada RM350,000 dan sumbangan duit zakat bernilai RM288,000.

Turut hadir, Pengarang Eksekutif Harian Metro Tuan Asri Tuan Hussein dan Ketua Pegawai Komersial The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Alfian Abdul Talib.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 3:19 AM