ADLY pada sidang media Pakatan Harapan di pejabat Parti Amanah Negara (PAN) negeri di Bukit Katil. -Foto RASUL AZLI SAMAD
ADLY pada sidang media Pakatan Harapan di pejabat Parti Amanah Negara (PAN) negeri di Bukit Katil. -Foto RASUL AZLI SAMAD
Fairuz Zaidan


MAJLIS pelantikan dan angkat sumpah Ketua Menteri Melaka yang baharu dijangka berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, petang ini.

Istiadat pelantikan di pejabat Mohd Khalil dijangka berlangsung pada 2.30 petang selepas disahkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Seri Negeri, Melaka.

Pakatan Harapan yang diterajui PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) berjaya membentuk kerajaan negeri Melaka yang baharu menerusi majoriti mudah selepas memperoleh 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kelmarin.

Barisan Nasional (BN) yang diterajui bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron pula hanya memenangi sebanyak 13 kerusi DUN.

Pada PRU-14, Pakatan Harapan yang menggunakan logo PKR menyaksikan DAP berjaya memenangi kerusi terbanyak dengan lapan kerusi DUN, diikuti tiga DUN dari PKR, manakala PPBM dan PAN masing-masing dua DUN.

Melaka mempunyai sebanyak 28 kerusi DUN.

Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Adly Zahari dari PAN yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Katil antara nama disebut-sebut bakal dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 12:34 PM