MUKHRIZ akui sudah punyai senarai akhir calon untuk jawatan Menteri Besar Kedah. -Foto BERNAMA
MUKHRIZ akui sudah punyai senarai akhir calon untuk jawatan Menteri Besar Kedah. -Foto BERNAMA
Suzalina Halid


MAJLIS pelantikan dan angkat sumpah Menteri Besar Kedah ke-13 di Istana Anak Bukit, Alor Setar yang dijadual berlangsung petang ini, ditangguhkan.

Perkara itu disahkan Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Elmi Yusoff melalui satu kenyataan kepada media, hari ini.

Bagaimanapun, tiada penetapan tarikh dan waktu baharu bagi pelantikan dan majlis angkat sumpah itu melalui kenyataan terbabit.

Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menubuhkan kerajaan baharu di Kedah selepas memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.

Sehingga kini, calon Menteri Besar Kedah masih menjadi teka-teki apabila PH belum menetapkan individu yang bakal mengisi jawatan itu, walaupun nama Datuk Seri Mukhriz Mahathir disebut sebagai calon utama.

Ada sumber menyatakan PKR lebih berhak untuk kerusi Menteri Besar Kedah berikutan memiliki majoriti dengan lapan daripada 18 kerusi dimenangi PH, manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) lima kerusi dan masing-masing dua lagi milik DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Mukhriz ketika ditanya hanya mengesahkan senarai akhir calon untuk jawatan Menteri Besar Kedah sudah diputuskan, namun menunggu kelulusan pimpinan pusat.

Dalam keputusan PRU-14 Kedah yang dimuktamadkan awal pagi tadi, 18 kerusi diumum milik PKR, diikuti PAS dengan 15 kerusi dan Barisan Nasional (BN) tiga kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 1:28 PM