ARTHUR Joseph Kurup menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran manifestonya di Dewan Belia Nabawan. FOTO NSTP/EDMUND SAMUNTING.
ARTHUR Joseph Kurup menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran manifestonya di Dewan Belia Nabawan. FOTO NSTP/EDMUND SAMUNTING.
Ryan Stanley


DULU, Arthur Joseph Kurup sering mengikut bapanya berkempen setiap kali pilihan raya, kini dia yang berusia 36 tahun ditemani pula bapanya yang turun padang bertemu pengundi.

Calon muka baharu Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pensiangan itu, berkata, beliau terharu dengan sokongan bapanya, Tan Sri Joseph Kurup yang juga bekas wakil rakyat di kawasan itu kerana sering bersamanya setiap kali berkempen.

“Bapa sudah membimbing saya selama 15 tahun sejak saya aktif berpolitik, saya menemaninya berkempen setiap kali pilihan raya, namun kini dia pula menemani saya tanpa rasa penat walaupun bukan lagi calon.

“Satu perkara yang beliau sentiasa ingatkan saya sepanjang bersamanya dulu ialah dalam apapun perjuangan atau keputusan yang dibuat, kita harus sentiasa mendahulukan rakyat dan itulah yang saya amalkan sehingga kini,” katanya.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) beliau bagi Parlimen Pensiangan di Dewan Belia Nabawan.

Sementara itu, Kurup yang juga Presiden PBRS berkata, beliau yakin dengan kebolehan anaknya dan berpendapat Arthur adalah orang paling layak memimpin rakyat di kawasan Pensiangan.

“Sememangnya, saya tiada kebimbangan terhadap Arthur, dia sudah mempelajari daripada saya dan syukur dia kini semakin matang serta sangat berkebolehan.

“Ketika dia mengikuti saya dulu, saya sering membawanya melawat kawasan yang masih ada golongan miskin dan miskin tegar, di situlah saya mendedahkan serta mengajarnya kenapa mendahulukan rakyat itu sangat penting.

“Dengan pengalaman itu, saya harap rakyat di Pensiangan akan memberi peluang kepada Arthur, berilah peluang kepada orang muda yang mempunyai komitmen tinggi dalam membantu penduduk di sini,” katanya.

Terdahulu, Arthur mengumumkan empat teras dalam manifesto PRU-14 bagi kawasan Pensiangan iaitu memperkasakan bangsa menerusi pendidikan; memajukan daerah menerusi pembangunan ekonomi dan infrastruktur; sentiasa prihatin kepada keperluan sosial dan kebajikan; serta prihatin kepada keperluan dan masa depan belia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 1:37 PM