DATUK Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, mengayuh basikal ketika Program Blue Ride ‘KL Bike Friendly City’. FOTO NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
DATUK Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, mengayuh basikal ketika Program Blue Ride ‘KL Bike Friendly City’. FOTO NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Siti Salmiah A Hamid


MENDIDIK dan menukar mentaliti warga kota agar lebih ramai menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama, memerlukan tempoh antara lima hingga 10 tahun.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, masih ramai dalam kalangan warga kota tidak memahami tujuan diwujudkan Laluan Basikal berkenaan.

"Warga kota tidak lagi perlu membawa kenderaan ke pusat bandar kerana ia mampu menyumbang kepada kesesakan.

"Keutamaan berbasikal adalah untuk memastikan Kuala Lumpur bersifat lebih maju dan berdaya saing selain dapat mengurangkan pencemaran karbon dioksida," katanya pada Program Kayuhan Biru di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Bersama Jawatankuasa KL Car Free Morning Datuk Naim Mohamed dan Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan DBKL Khairul Anuar Mhd Juri.

Katanya, orang ramai seharusnya mencontohi negara luar seperti Belanda yang menggalakkan masyarakatnya berbasikal.

"Ia sebahagian daripada alternatif DBKL dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur bandar raya mampan dan moden," katanya mengakui laluan basikal dari Jalan Lok Yew ke pusat bandar adalah praktikal.

Sementara itu, Ketua Unit Peronda Basikal Penguatkuasa DBKL Noreffendi Rosli berharap, warga kota terutamanya pemandu kenderaan menghormati penunggang basikal di pusat bandaraya ini.

"Hampir 20 peratus masyarakat bandar menunjukkan sikap tidak sabar ke atas golongan berbasikal justeru kita berharap program sedemikian perlu sentiasa diadakan untuk menggalakkan warga kota rajin berbasikal.

"Saya juga berharap kemudahan seperti kawasan parkir basikal dan tempat mandi dapat disediakan untuk penunggang basikal," katanya.

Seramai 100 peserta penunggang basikal menyertai program itu yang bermula di Dataran DBKL (Jalan Raja Laut) ke Menara DBKL 3 (Jalan Raja Abdullah) dan berpatah semula ke Daratan DBKL sejauh 3.6 kilometer.

Antara yang mengambil bahagian termasuklah bekas pelumba basikal negara iaitu Noreffendi Rosli, Suhaimi Keton, Musari Musa dan Suhardi Hassan serta pegawai dan kakitangan DBKL.

Program Kayuhan Biru dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan DBKL dengan kerjasama Multigreen Events Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 4:58 PM