Norasikin Daineh


MAHKAMAH Sesyen Kota Kinabalu hari ini, menetapkan kes dua lelaki yang didakwa atas pertuduhan mengurus rumah persundalan di Kota Kinabalu dibicarakan antara 19 dan 22 Februari ini.

Hakim Azreena Aziz menetapkan tarikh berkenaan pada pengurusan kes itu hari ini.

Pada 29 Disember lalu, tertuduh, Tay Thian Chuan, 45, dan Tay Leong Hee, 52, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh ditahan di sebuah bilik hotel, di Kota Kinabalu, jam 8.44 malam, pada 23 November lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 373 (1) (a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat Jabatan Imigresen.

Tertuduh, Tay Thian Chuan, 45, (kiri) dan Tay Leong Hee, 52, (kanan) keluar daripada Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini, selepas prosiding dakwaan pembabitan mereka mengurus rumah persundalan. FOTO Edmund Samunting.
Tertuduh, Tay Thian Chuan, 45, (kiri) dan Tay Leong Hee, 52, (kanan) keluar daripada Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini, selepas prosiding dakwaan pembabitan mereka mengurus rumah persundalan. FOTO Edmund Samunting.

Sebelum ini, Jabatan Imigresen Sabah menerusi Ops Gegar merampas wang tunai RM14.5 juta dan menahan 22 individu pada dua serbuan di Kota Kinabalu.

Pada operasi pertama 24 November lalu, Jabatan Imigresen menemui wang tunai RM11.88 juta di sebuah bilik hotel di Kota Kinabalu sebelum pemeriksaan susulan di apartmen berhampiran menemui lebih RM1.17 juta.

Seramai 17 gadis dan wanita warga Filipina berusia belasan tahun hingga 40-an yang ditempatkan dalam enam bilik di hotel berkenaan serta dipercayai dieksploitasi sebagai pelacur turut diselamatkan.

Pada operasi kedua 28 November pula, Jabatan Imigresen menemui RM1.45 juta di hotel sama.

Penemuan wang itu membawa kepada penahanan tiga lelaki dan seorang wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 1:24 PM