ANGGOTA polis mengiringi Nelson yang berdepan tuduhan kes pecah amanah di Mahkamah Sesyen Limbang, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
ANGGOTA polis mengiringi Nelson yang berdepan tuduhan kes pecah amanah di Mahkamah Sesyen Limbang, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


PEGUAM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Limbang, hari ini atas tuduhan pecah amanah terhadap sebuah firma guaman berhubung pembayaran penjualan rumah kepada sebuah agensi kerajaan, 14 tahun lalu.

Tertuduh Nelson Ruki, 52, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Hafizi Abdul Halim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu ketika bekerja dengan sebuah firma guaman di daerah ini dengan curang tidak membuat pembayaran RM60,684 berhubung pembelian rumah kepada Perbadanan Pembangunan Perumahan yang diberikan anak guam firma itu pada 4 September 2004.

Tertuduh yang menggunakan wang berkenaan untuk urusan peribadi dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta sebat selain boleh didenda.

Lelaki itu yang berpakaian lokap berwarna ungu mengangguk faham selepas pertuduhan selesai dibacakan dan memohon untuk dibicarakan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Penyiasat Inspektor N Sivanesvaran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin tempatan, selain diarahkan untuk melapor diri sekali dalam tempoh dua minggu kepada pegawai penyiasat kes.

Mohd Hafizi juga menetapkan 17 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 3:55 PM