Mohd Hafizee Mohd Arop


BEKAS kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas 138 pertuduhan pecah amanah lebih RM100,000 sejak Januari 2012.

Tertuduh V Pathumavethi, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Pathumavethi didakwa atas 138 pertuduhan iaitu sebagai kerani akaun dengan mempunyai penguasaan ke atas harta milik Firma Guaman Chong & Poh dengan curangnya melakukan pecah amanah menyalahgunakan harta dan menjadikan harta itu bagi kegunaan sendiri melalui cek pembayaran baucar dibuatnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu sejak Januari 2012 hingga Januari 2015 dengan jumlah keseluruhan pecah amanah dilakukan sebanyak RM103,740.55.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukannya di Firma Guaman Chong & Poh, 46-48B Summit Complex, Jalan Dato Tahwil Azar, Ipoh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan bagi kesemua pertuduhan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dan sebat serta boleh didenda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md Yusof manakala tertuduh diwakili peguam K Nahtan.

Muhammad Fauzi kemudiannya memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM40,000 dengan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah sebelum Nahtan memohon mahkamah mengurangkan jaminan itu kepada RM20,000.

Azman membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula 27 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 12:07 PM