ABDUL Hadi (kanan) mengumumkan Afnan (dua kanan) sebagai calon yang akan bertanding di Parlimen Permatang Pauh. FOTO Amir Irsyad Omar
ABDUL Hadi (kanan) mengumumkan Afnan (dua kanan) sebagai calon yang akan bertanding di Parlimen Permatang Pauh. FOTO Amir Irsyad Omar
Muhammad Yusri Muzamir


PENGARUH anak kelima bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor tidak akan menggugat usaha untuk menawan kembali Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kata Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Afnan Hamimi yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS berkata, pihaknya yakin dengan strategi tersendiri dalam usaha untuk menawan kembali Parlimen Permatang Pauh yang kini disandang Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bekas calon PAS di Parlimen Kepala Batas pada PRU-13 lalu itu berkata, strategi yang akan digunakan adalah berbeza berbanding pendekatan pada pilihan raya lalu, selain menegaskan perjuangannya akan berteraskan pendekatan semasa.

"Faktor anak kepada sesiapa itu tidak memberi sebarang masalah kepada perjuangan saya bersama PAS untuk menawan kembali Permatang Pauh dan ia terpulang kepada pengundi di kawasan berkenaan.

"Saya yakin pengundi Permatang Pauh akan memilih calon yang menetap di kawasan berkenaan supaya dapat berkhidmat kepada mereka sepanjang masa diperlukan," katanya pada sidang media di Kepala Batas, malam tadi.

Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan pencalonan Afnan Hamimi, 37, di Parlimen Permatang Pauh, sekali gus menjadikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru di kawasan berkenaan.

PAS bertanding di Permatang Pauh sejak 1969 sebelum menyerahkan kerusi itu kepada PKR pada PRU 1999, selain Anwar mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kawasan itu, sejak 1982.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, pengumuman calon di Parlimen Permatang Pauh dibuat lebih awal berikutan beberapa faktor, selain kawasan berkenaan disifatkan sebagai istimewa kepada PAS.

"Saya yakin dengan calon muda kita ini (Afnan Hamimi) dapat mengembalikan sejarah kegemilangan PAS di Permatang Pauh pada 1978 yang menyaksikan kemenangan Zabidi Ali, sebelum dirampas oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1982.

"Kita juga mahu ambil balik Permatang Pauh kerana sejarah penubuhan PAS bermula di negeri ini, pada 1955. Bagaimanapun, ini bukanlah medan untuk PAS membalas dendam terhadap mana-mana parti politik," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, penyertaan Parti Amanah Negara tidak akan memberi kesan kepada PAS, selain menyifatkan penyertaan parti serpihan itu bakal terkubur dengan sendirinya.

"Parti Amanah Negara ini hanyalah serpihan PAS. Kita sudah mengalami sejarah dengan parti serpihan ini sejak 1960-an lagi dan ia akan hilang begitu sahaja," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan kekal bertanding di Parlimen Marang, Abdul Hadi berkata, ia tertakluk sepenuhnya kepada keputusan parti, selain kepemimpinan PAS juga belum memuktamadkan keputusan sama ada dia akan bertanding di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Saya memberi kebebasan kepada parti untuk menentukan kawasan mana yang sesuai untuk saya tandingi. Ia terpulang kepada parti sama ada mahu letakkan saya di Parlimen atau DUN, tetapi pendekatan PAS hanya akan bertanding di salah satu kerusi sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 1:06 AM