MAYAT kru kapal JBB Rong Chang 8 ditemui dan dinaikkan ke Jeti Nelayan Parit Jawa, Muar pada 12 tengah hari tadi. FOTO Fahd Rahmat
MAYAT kru kapal JBB Rong Chang 8 ditemui dan dinaikkan ke Jeti Nelayan Parit Jawa, Muar pada 12 tengah hari tadi. FOTO Fahd Rahmat
Mohamad Fahd Rahmat


MAYAT ketiga yang dijumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di bilik tidur kapal korek JBB Rong Chang 8 di perairan Parit Jawa, Muar hari ini disahkan sebagai wanita dan berkemungkinan besar warga China.

Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Sanifah Yusof berkata, sehingga kini identiti empat lagi mayat lelaki yang ditemui masih belum dapat dikenal pasti kerana dalam proses pengecaman dan bedah siasat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Katanya, sehingga kini lima kru kapal itu berjaya diselamatkan sejak tragedi berkenaan berlaku pada Rabu lalu.

“Mayat pertama dijumpai pada hari pertama tragedi dan mayat kedua dijumpai hanyut kira-kira 12 batu dari Tanjung Tohor, malam tadi.

“Pada hari ini kita menjumpai mayat ketiga dalam kapal dipercayai seorang wanita berkemungkinan besar warga China dalam bilik tidur dan terapung.

“Mayat keempat ditemui hanyut di Parit Haji Baki iaitu kira-kira 6 Batu dari Parit Jawa, pagi tadi.

“Tetapi dua mayat yang ditemui hanyut ini kita tidak dapat dikenal pasti sama ada kru kapal atau tidak. Kita akan melakukan proses pengecaman atau bedah siasat untuk mengetahui identiti mangsa,” katanya pada sidang media di pusat operasi SAR di Parit Jawa di Muar, hari ini.

Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Daerah Muar, Dr Noorhaida Ujang berkata, dua mangsa yang terselamat yang dijumpai semalam kini stabil dan ditempatkan dalam wad di HPSF.

“Ketika ditemui mereka lemah kerana kekurangan air dalam badan dan tidak makan. Mereka diletakkan ke zon merah tetapi malam tadi mereka diletakkan di wad biasa dan stabil.

“Tiga mangsa lain yang terselamat hanya mendapatkan rawatan pesakit luar di HPSF,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai keadaan mereka.

Berita berkaitan

Dua kru kapal korek ditemui selamat [METROTV]

Operasi SAR kritikal

'Berharap ada sinar hari ini'

Tunda kapal korek ke permukaan cetek [METROTV]

Semoga Aca selamat [METROTV]

[UPDATE] 50 anggota cari kru hilang [METROTV]

1 lemas, 14 hilang

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 3:44 PM