PASUKAN penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas 14 kru kapal korek dilaporkan hilang di perairan Parit Jawa, Muar. FOTO Adi Safri
PASUKAN penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas 14 kru kapal korek dilaporkan hilang di perairan Parit Jawa, Muar. FOTO Adi Safri
Mohamed Farid Noh dan Badrul Kamal Zakaria


SELEPAS hampir 40 jam kapal korek JBB Rong Chang 8 terbalik kira-kira 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa, Muar, nasib 14 mangsa yang dipercayai terperangkap dalam kapal itu masih menimbulkan tanda tanya.

Sehingga 10 malam tadi, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih berusaha mencari mangsa terperangkap dan tidak akan menghentikan pencarian.

Lebih 20 penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), enam penyelam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), tujuh penyelam dari kerajaan China serta lapan penyelam profesional berada di lokasi kapal korek secara bergilir-gilir bagi mengesan mangsa.

Kapal korek berkenaan juga berjaya ditunda ke kawasan cetek berkedalaman 18 meter, selain pasukan SAR turut mengepam udara ke dalam kapal bagi mengapungkannya selain membekalkan udara.

Balasan ketukan dipercayai daripada mangsa terperangkap di bahagian bilik enjin kapal pada 2.30 petang semalam memberi harapan ada mangsa yang masih hidup.

Pantai Leka juga sentiasa dipenuhi orang awam yang mahu mengikuti perkembangan kes berkenaan, selain kehadiran lebih 50 petugas media tempatan dan antarabangsa.

Sementara itu, keluarga seorang mangsa terperangkap, Mohd Akashah Azizan, 25, atau Aca masih berharap supaya lelaki berkenaan ditemui dengan selamat.

Abang sulungnya, Azral, 37, berkata seluruh keluarganya mendoakan keselamatan adiknya supaya dapat bertahan dan berjaya diselamatkan.

Menurutnya, dia juga keberatan untuk memberitahu ibunya mengenai kejadian menimpa adiknya, tetapi mujur seorang daripada bapa saudara yang bercuti di kampung membantu memaklumkannya.

“Semalam (kelmarin) saya tak sampai hati mahu beritahu ibu mengenai kejadian ini kerana tahu dia tidak dapat terima. Ada seorang pak cik saya yang kebetulan bercuti di kampung di Kedah kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada ibu.

“Adik-beradik dan ibu saya kemudian bergegas ke Muar dengan menaiki dua kereta sebelum singgah di rumah saya di Putrajaya. Kami kemudian menyambung perjalanan dan tiba di Pusat SAR ini kira-kira jam 3 pagi tadi (semalam).

“Kami masih menanti dengan penuh harapan,” katanya ketika ditemui di Pusat Operasi SAR di Pantai Leka, Parit Jawa, Muar, petang semalam.

Berita berkaitan

Tunda kapal korek ke permukaan cetek [METROTV]

Semoga Aca selamat [METROTV]

[UPDATE] 50 anggota cari kru hilang [METROTV]

1 lemas, 14 hilang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 12:31 AM