FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Hazsyah Abdul Rahman


JURURAWAT wanita rentung selepas kereta dinaiki terbakar dalam kemalangan di Batu 9, Jalan Labuk, Sandakan, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 4.15 pagi, mangsa Lydricca Koh, 28, tersepit dan rentung dalam kenderaan, manakala pemandu kereta jenis Mazda iaitu Karthigaiyan Rajalingam, 30, yang juga pegawai perubatan cedera di leher, kaki dan kepala.

Difahamkan, kedua-dua mangsa bertugas di Hospital Beluran.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Batu 10 menghala ke Batu 8, Sandakan.

“Apabila sampai di bulatan Batu 9, kenderaan mereka hilang kawalan lalu terlanggar bulatan dan terbabas sejauh lebih kurang 100 meter ke hadapan. Kenderaan itu turut merempuh tiga tiang elektrik dan sebuah rumah kosong tidak berpenghuni.

“Pemandu berjaya dikeluarkan oleh orang awam, namun penumpang gagal diselamatkan akibat tersepit di tempat duduk belakang dan api sudah marak,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mayat penumpang wanita dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat, manakala pemandu dikejarkan ke wad kecemasan hospital sama untuk rawatan lanjut.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Zon Enam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Anddre Andrew berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.20 pagi sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan dihantar ke lokasi.

“Sebaik tiba, didapati sebuah kenderaan terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebuah rumah kosong sebelum terbakar.

“Seorang wanita ditemui rentung dalam kenderaan terbabit, manakala rumah kosong berkenaan musnah 90 peratus akibat terbakar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 5:09 PM