GUDANG simpanan makanan menjadi sasaran rejim Bashar Al Assad.
GUDANG simpanan makanan menjadi sasaran rejim Bashar Al Assad.
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Seramai 1,591 rakyat Syria dilaporkan terkorban sepanjang 19 hari tempoh pengeboman oleh tentera rejim Bashar Al Assad di beberapa wilayah di negara berkenaan termasuk Ghutoh dan Idlib.

Terbaru, serangan tentera rejim menyasarkan penempatan sementara dan gudang penyimpanan makanan di bandar di wilayah Ghutoh iaitu Duma yang mengorbankan sembilan mangsa termasuk kanak-kanak.

Pengeboman di Duma itu dilancarkan selama 24 jam tanpa henti dengan kebanyakan bangunan yang musnah gudang penyimpanan makanan.

Pengarah Pendidikan dan Misi Kemanusiaan Syria Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) Ustaz Nazmi Abdul Karim berkata, sejak pengeboman dilancarkan tentera rejim Bashar Al Assad penghujung Februari lalu, lebih 1,000 rakyat Syria menjadi korban.

 Serangan terbaru dilancarkan di beberapa wilayah  termasuk Idlib.
Serangan terbaru dilancarkan di beberapa wilayah termasuk Idlib.

“Kami juga difahamkan lebih 400,000 rakyat Syria terperangkap di beberapa wilayah yang menjadi sasaran pengeboman tentera rejim.

“Angka korban makin meningkat sejak tentera rejim Bashar disokong Russia melancarkan serangan bermula 18 Februari lalu dalam usaha mereka menawan kawasan pembangkang terakhir di luar ibu kota Damsyik.

“Nasib umat Islam di Ghouta makin meruncing. Mayat bergelimpangan, hospital dihancurkan dan lebih menyedihkan ada mayat tidak dapat dialihkan disebabkan serangan bertali arus dilancarkan rejim Bashar,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

MANGSA yang terbunuh dalam serangan.
MANGSA yang terbunuh dalam serangan.

Orang ramai boleh menyumbang menerusi Kutipan Dana Kecemasan ke Ghouta, Syria menerusi akaun Muslim Care di nombor akaun 564490413882 (Maybank), 1401401014740 (Bank Islam) atau 14010007654717 (Bank Muamalat) dan maklumkan kepada Ustaz Nazmi di talian 0192726567.

Nazmi berkata, setiap hari pasti ada serangan dilancarkan ke beberapa wilayah terutama di Ghutoh dan Idlib.

Menurutnya, keadaan umat Islam di negara itu juga sangat membimbangkan apabila kekurangan bekalan makanan dan keperluan asas.

“Kanak-kanak antara mangsa paling terjejas dengan pengeboman ini. Kebanyakan mereka berlindung di bawah tanah demi keselamatan,” katanya.

KANAK-KANAK berlindung di bawah tanah bagi mengelak dibom.
KANAK-KANAK berlindung di bawah tanah bagi mengelak dibom.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 6:21 AM