LAPORAN portal berita Harian Metro 9 Mac lalu. Gambar kecil, Hasanuddin.
LAPORAN portal berita Harian Metro 9 Mac lalu. Gambar kecil, Hasanuddin.
Rosliza Mohamed


POLIS Kelantan sudah mengenal pasti suspek yang menetak anggota polis dengan menggunakan parang ketika menjalankan tugas risikan di Kampung Bukit Capong Kuala Tiga, Tanah Merah, Khamis lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, suspek terbabit berusia 53 tahun dan tangkapan akan dilakukan pada bila-bila masa.

"Tidak sepatutnya lelaki terbabit berbuat demikian (menetak) kerana kita (polis) hanya menjalankan tugas dan dia wajar memberi kerjasama.

“Kami percaya suspek kini sedang menyembunyikan diri bagi mengelak ditahan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap penjawat awam," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini, seorang konstabel dilaporkan terpaksa menerima enam jahitan di jari tangan kanan selepas ditetak dengan parang ketika menjalankan tugas risikan di Kampung Bukit Capong Kuala Tiga, Tanah Merah, 7 malam Khamis lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 22 tahun dan bertugas di Balai Polis Gual Ipoh itu cedera di jari telunjuk kanan, calar di belakang kepala dan belakang badan akibat diserang menggunakan senjata berkenaan.

Sebelum kejadian mangsa bersama rakannya sedang melakukan rondaan mengesan kegiatan pengedaran dadah dalam Ops Bersepadu di Kampung Peralla, Tanah Merah.

Ketika rondaan itu, mangsa terserempak dengan sekumpulan lima lelaki dan cuba menangkap seorang suspek kerana dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah, sebelum dipukul di kepala dari arah belakang dan mendapati lelaki dipercayai bapa suspek memegang sebilah parang.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM) bagi menerima rawatan.

Berita berkaitan

''Gedebe mu tetok polis''

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 6:13 PM