Siti Rohana Idris


Jeli: Suspek yang menetak adik lelakinya sehingga mati ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 5 Januari depan.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 36 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Kota Bharu Tuan Ruzuaini Tuan Lah di Mahkamah Majistret Tanah Merah.

Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, suspek yang bekerja kampung itu ditahan polis jam 11 pagi semalam di tepi jalan utama tidak jauh dari rumahnya di Kampung Sungai Rual Melayu, di sini.

"Permohonan reman diluluskan selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 5 Januari untuk siasatan dijalankan dengan lebih lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian awal pagi semalam, suspek yang dipercayai mengalami kemurungan sejak dua tahun lalu bertindak menetak adik lelakinya Ma Udeng Masae, 30, dengan sebilah parang.

Kejadian berlaku di ruang dapur rumah mereka pada 1.20 pagi semalam menyebabkan mangsa yang parah di bahagian belakang leher meninggal dunia serta-merta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 1:36 PM