Luqman Arif Abdul Karim dan Esther Landau

Kuala Lumpur: Pelan mengumpulkan semula bangkai pesawat MH370 yang kini dalam fasa akhir penyediaan dijangka dimuktamadkan pertengahan Mac.

Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, usaha merangka pelan itu diterajui Malaysia selain bantuan tenaga pakar dari Australia.

Beliau berkata, ia merangkumi persiapan teknikal dan peralatan berkaitan bagi membawa naik bangkai pesawat MH370 yang mungkin berada 6,000 meter di dasar selatan Lautan Hindi.

“Pelan ini pada asalnya dipersetujui pada 2014 apabila kami mengendalikan pencarian di kawasan seluas 160,000 kilometer persegi yang ketika itu diterajui Australia.

“Tapi sekarang, pencarian diterajui Malaysia, justeru kita perlu mempertimbangkan usaha merangka pelan mengumpul semula serpihan pesawat dan kotak hitam menerusi kerjasama pelbagai agensi serta tenaga pakar tempatan.

“Tujuan pelan ini supaya gerak kerja selanjutnya berupaya dilaksanakan jika kapal pencarian dasar laut, Seabed Constructor milik Ocean Infinity Limited menemui pesawat MH370,” katanya, semalam.

AZHARUDDIN
AZHARUDDIN

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis memperingati tragedi MH370 yang membawa 239 penumpang dan dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Ahmad Nizar Zolfakar.

Azharuddin menjelaskan, Seabed Constructor yang dilengkapi lapan kapal selam tanpa pemandu (AUV) mampu mengendalikan pencarian dalam tempoh kitaran 26 hari.

Sehubungan itu, katanya, 90 hari yang diperuntukkan dalam terma kontrak pencarian MH370, ditandatangani Malaysia dengan Ocean Infinity Limited tidak termasuk perjalanan kembali ke dermaga bagi urusan penyelenggaraan kapal dan pengisian semula keperluan asas.

“Kami jangka pencarian MH370 dikendalikan Ocean Infinity selesai sekitar pertengahan Jun atau Julai tahun ini, membabitkan kawasan seluas 25,000 kilometer persegi.

“Oleh itu, masih terlalu awal untuk mengulas kemungkinan usaha mencari pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi berakhir dengan kegagalan.

“Apa-apa pun, waris mangsa diutamakan. Kami sedia memaklumkan perkembangan semasa mengenai usaha pencarian malah menerbitkan laporan mingguan setiap Selasa berdasarkan maklumat daripada dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menyertai misi dengan kapal Seabed Constructor,” katanya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dilaporkan berkata, pencarian, setakat Khamis lalu, merangkumi keluasan 8,200 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi tidak menemui sebarang petunjuk dikaitkan dengan pesawat MH370.

AHLI keluarga yang hadir pada majlis memperingati tragedi MH370, semalam.
AHLI keluarga yang hadir pada majlis memperingati tragedi MH370, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 8:36 AM