ANGGOTA bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat Mohd Faizal yang dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakannya di Lata Hammer, Bentong. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat Mohd Faizal yang dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakannya di Lata Hammer, Bentong. FOTO ihsan bomba
Amin Ridzuan Ishak


PENUNTUT Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakannya di Latar Hammer, Bentong, hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Sani Harul berkata, mangsa Mohd Faizal Yusri, 23, berasal dari FELDA Sungai Tiang, Pendang, Kedah.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.50 pagi dan lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

“Pasukan kami tiba di lokasi kejadian yang terletak 25 kilometer (km) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong pada jam 12.26 tengah hari bersama anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Hutan dan Bentong Treker 8.

“Difahamkan, lima pelajar UIAM termasuk mangsa mandi di Lata Hammer dan tiba-tiba mereka tenggelam dan terkapai-kapai meminta pertolongan.

“Empat daripadanya berjaya diselamatkan orang awam manakala mangsa dipercayai dihanyutkan arus lalu tenggelam,” katanya.

Beliau berkata, pasukan penyelamat terpaksa berjalan sejauh 4km untuk ke lokasi kejadian kerana keadaan jalan rosak dan tidak boleh dilalui kenderaan.

“Operasi mencari dan menyelamat dimulakan dengan pencarian di permukaan air sebelum dihentikan pada jam 6 petang berikutan hujan lebat serta cuaca gelap.

“Kami akan teruskan operasi esok dan paling dibimbangi ialah berlakunya kepala air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 10:34 PM