PEGAWAI SPRM mengiringi Rijali (tengah) selepas dijatuhi hukuman penjara selama setahun  berserta denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar atas tuduhan menerima rasuah, hari ini. Foto AMRAN HAMID
PEGAWAI SPRM mengiringi Rijali (tengah) selepas dijatuhi hukuman penjara selama setahun berserta denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar atas tuduhan menerima rasuah, hari ini. Foto AMRAN HAMID
Muhaamad Hafis Nawawi

ANGGOTA polis dihukum penjara setahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini selepas didapati bersalah menerima rasuah RM700, tiga tahun lalu.

Hakim Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Sarjan Rijali Solah, 59, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Tertuduh juga boleh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Yan didakwa menerima rasuah RM700 sebagai dorongan bagi membantu menukar keputusan ujian air kencing ke atas Mohd Hizzam Hussin, 38.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Kak Chaq Ikan Bakar, Gurun, 2.10 petang pada 12 Mei 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Peguam tertuduh, SP Raman dalam rayuannya berkata, tertuduh sudah bertugas dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 38 tahun dan ia adalah kesalahan pertama.

"Tertuduh juga perlu menanggung isteri dan tiga anak termasuk dua yang masih bersekolah. Tertuduh juga mendapat pengajaran apabila bakal kehilangan pekerjaan dan pencen akibat tindakannya itu," katanya.

Raman turut memohon mahkamah supaya hukuman penjara terhadap tertuduh ditangguhkan sementara proses rayuan di Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Mahkamah membenarkan hukuman penjara ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai dan tertuduh turut membayar denda itu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Shahrul Khuzaini Amiruddin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 1:31 PM